MELAKA: Ramai yang menganggap industri beca di Melaka majoriti pengayuhnya terdiri daripada warga emas, lantas berfikir pekerjaan warisan itu bakal lenyap sedikit masa lagi kerana tiada pewaris.
Namun, sangkaan itu ternyata meleset kerana profesion pengayuh beca sememangnya mendapat tempat dalam kalangan generasi muda, yang mampu menjadi penyambung legasi warisan kebanggaan negeri ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Banda Hilir mendapati, majoriti pengayuh adalah golongan belia yang gigih berusaha menarik perhatian pelancong dengan pelbagai cara termasuk hiasan beca yang menarik.
Seorang pengayuh muda, Muhammad Shahrul Nizam Hashim, 25, berkata, pekerjaan itu lebih bersesuaian dengan dirinya kerana bebas bekerja mengikut waktu sendiri.
Bagaimanapun, katanya, kebebasan yang ada tidak boleh dijadikan alasan untuk mengayuh sambil lewa atau mengikut ‘angin’ sendiri.
“Tiada masalah untuk orang muda menjadi pengayuh beca. Saya berpegang kepada prinsip kita mesti rajin dalam melakukan apa juga pekerjaan, ramah dan sering bertanya jika tidak tahu.
“Kalau kita rajin, insya-Allah rezeki itu akan datang. Paling penting pendapatan yang kita dapat dengan mengayuh beca ini adalah halal,” katanya ketika ditemui.
Tambah Muhammad Shahrul Nizam, pengayuh yang lebih senior menganggap generasi muda sebagai perintis kepada usaha mereka yang telah sekian lama memperjuangkan warisan beca di Melaka.
Menurutnya, tidak timbul isu persaingan kerana masing-masing bebas mencari rezeki.
“Mereka melihat orang muda sebagai penyambung legasi beca. Entah sampai bila beca akan bertahan jika generasi muda sendiri tidak mempertahankannya,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Shahrul Nizam menambah, tidak terlintas di fikirannya untuk mencari pekerjaan lain, meskipun usianya masih muda tambahan keputusannya itu mendapat sokongan keluarga.
Menurutnya, dia pernah berhenti seketika mengayuh semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Waktu sukar ini saya ikhtiar cara lain iaitu dengan menjadi penghantar makanan. Ramai juga rakan-rakan pengayuh beca lain terpaksa mencari pekerjaan lain.
“Namun, selepas PKP tamat dan rentas negeri dibenarkan, saya kembali mengayuh beca. Pekerjaan ini sudah sebati dengan saya dan tidak akan berputus asa,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE