LIPIS: Kerajaan Negeri Pahang berpuas hati dengan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dikendalikan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang yang membantu meringankan kos sara hidup penduduk yang berpendapatan rendah.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, PJKM perlu dilaksanakan di kawasan pinggir bandar, Felda dan kampung supaya memudahkan pengguna atau penduduk berpendapatan rendah berbelanja barang keperluan dapur.
“Pada masa yang sama PJKM boleh membantu pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) daripada kampung dan Felda memasarkan hasil seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan produk makanan kering keluaran sendiri.
“PJKM yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Disember tahun lalu perlu dimanfaatkan oleh penduduk luar bandar.
“Ini kerana kuasa membeli dan permintaan semakin banyak khususnya barang keperluan dapur lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PJKM di Laman Sejahtera, Felda Sungai Koyan Satu di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Seksyen Perdagangan Dalam Negeri ,Pejabat KPDNHEP negeri, Fatin Najwa Hasbullah.
Wan Rosdy berpuas hati PJKM di Felda Sungai Koyan Satu yang dilaksanakan selama dua hari berjaya mengetengahkan pengusaha IKS memasarkan produk keluaran sendiri dan hasil pertanian dengan harga cukup murah bagi kemudahan orang ramai.
“Kerajaan negeri juga berterima kasih kepada rakan strategik KPDNHEP Pahang, iaitu pasar raya dan peniaga tempatan yang membantu menjual barang keperluan dapur di PJKM berasaskan harga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran untuk keselesaan pengguna berbelanja,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, kerajaan negeri juga berterima kasih atas kerjasama antara KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Kewangan serta agensi di bawahnya berusaha terus menerus menangani kenaikan harga barang di negara ini.
Dalam pada itu, Wan Rosdy meminta peruncit dan peniaga di luar bandar termasuk yang menyertai PJKM supaya menjual sayur-sayuran dan buah-buahan termasuk ternakan ikan lebih murah daripada harga pasaran untuk keselesaan penduduk berpendapatan rendah berbelanja.
“Hal ini sekali gus meringankan beban penduduk yang mana ada sesetengahnya masih lagi dalam tempoh pemulihan banjir serta tekanan pendapatan berikutan ancaman pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli Betau, Lijah Anjang, 45, berkata, dia berpeluang keluar berbelanja barang keperluan di PJKM untuk tempoh dua minggu dengan harga yang murah berbanding tempat lain.
“Lebih elok PJKM kerap diadakan di Sungai Koyan Satu, kerana penduduk Orang Asli pedalaman Ulu Jelai dapat keluar berbelanja dan tidak perlu lagi ke bandar Kuala Lipis dan Raub yang agak jauh dari tempat kami,” katanya.
Penduduk Orang Asli Kampung Simoi Baru, Sabri Sigon, 50, pula berkata, dia dapat dapat berbelanja barang makanan dengan kadar 20 peratus jauh lebih rendah sekali gus dapat menjimatkan wang untuk keperluan lain.
“Kita (Orang Asli) yang kebanyakannya mempunyai pendapatan yang kecil di kampung cuma mengharapkan barang keperluan dapur dengan harga yang murah dan kemudahan berbelanja PJKM memperoleh semua barang yang dikehendaki serta berpuas hati,” ujarnya. –UTUSAN