KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes pengubahan wang haram dan elak bayar cukai yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor akan memfailkan bantahan awal terhadap permohonan wanita itu untuk menyingkirkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pasukan itu.
Sri Ram memaklumkan perkara itu pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan di sini hari ini.
Mahkamah hari ini sepatutnya mendengar permohonan tersebut bersama-sama dua lagi permohonan Rosmah iaitu untuk menyingkirkan Hakim Mohamed Zaini dan untuk menangguhkan perbicaraan kes itu.
“Pihak pembelaan (pemohon) menyerahkan ketiga-tiga permohonan tersebut kepada pendakwaan pada Isnin lalu dan saya hanya berpeluang untuk melihat kesemua permohonan tersebut hari ini. Selepas menelitinya, saya ingin memaklumkan yang pihak pendakwaan akan memfailkan bantahan awal terhadap permohonan pemohon untuk menyingkir saya,” kata Sri Ram.
Tambahnya, beliau juga telah memaklumkan perkara tersebut terhadap pemohon yang diwakili peguam-peguam bela, Datuk Firoz Hussein Jamaludin dan Datuk Geethan Ram Vincent.
“Secara ringkasnya, bantahan awal tersebut akan menyatakan bahawa permohonan ini (untuk menyingkirkan Sri Ram) adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.
“Permohonan ini sebenarnya adalah satu permohonan memohon deklarasi yang sepatutnya dibuat melalui semakan kehakiman dan bukannya melalui prosiding jenayah. Mahkamah (ini) tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan ini,”kata bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu.
Tambahnya, bantahan awal itu akan difailkan hari ini.
Sementara itu, Firoz memaklumkan pihaknya tidak membantah atas hasrat pendakwaan untuk memfailkan bantahan awal itu namun memohon masa yang mencukupi bagi membolehkan mereka mamfailkan afidavit jawapan terhadap bantahan tersebut.
Hakim Mohamed Zaini menetapkan 17 dan 18 Februari ini untuk pendengaran bantahan awal tersebut dan permohonan untuk menyingkirkan Sri Ram.
Minggu lalu, Rosmah memfailkan permohonan untuk menyingkirkan Sri Ram atas alasan antaranya mendakwa bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu bukanlah orang yang sesuai dan wajar (fit and proper) untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes pengubahan wang haram dan elak bayar cukai yang dihadapi wanita terbabit.
Pada 12 Januari lalu, Rosmah turut memfailkan permohonan untuk menggugurkan seorang hakim Mahkamah Tinggi daripada mendengar perbicaraan kes di bawah pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya.
Turut difailkan ialah permohonan agar kesemua prosiding dalam kes terlibat digantung sehingga rayuan berhubung keputusan Hakim Mohamed Zaini menolak permohonannya supaya beliau menarik diri, diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Pada 4 Oktober 2018, Rosmah, 69, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.
Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan seperti mana yang diperuntukkan Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.