KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan mengemukakan permohonan untuk menyoal balas seorang perunding unit amanah yang dianggap sebagai saksi belot (hostile witness) pada perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkaitan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Permohonan itu dikemukakan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini ekoran keterangan lisan saksi pendakwaan ke-25, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, bercanggah dengan rakaman percakapan yang diberikannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan kes tersebut.
Pada 27 Januari lalu, Norhaili memberitahu, pelakon Datin Seri Zizie Izette A. Samad layak mendapat wang pengenalan (introduction fee) RM2.8 juta selepas Felcra bersetuju melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Ujarnya, Zizie Izette yang juga kenalannya berhak mendapat wang tersebut selepas memperkenalkan beliau kepada suaminya yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra dan seorang lagi pegawai kanan agensi itu.
Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memberitahu, pihaknya mendapati wujud percanggahan yang material di antara keterangan di mahkamah dan rakaman percakapan yang diberikannya sebelum ini.
Sehubungan itu, pihak pendakwaan telah mendapat arahan untuk mengemukakan permohonan bagi menyoal balas saksinya sendiri mengikut Seksyen 154 Akta Keterangan 1950.
Bagaimanapun, pihak pembelaan membantah permohonan tersebut atas alasan ia tidak dibuat berdasarkan prosedur yang betul.
Chin How turut memaklumkan, pihaknya telah menyerahkan rakaman percakapan saksi berkenaan kepada pihak pembelaan Jumaat lalu.
Hakim Rozina Ayob kemudian menetapkkan 24 Februari ini bagi mendengar penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan sebelum membenarkan atau menolak permohonan itu.
Mahkamah turut mengarahkan pihak pendakwaan menyediakan saksi seterusnya jika perbicaraan disambung pada hari yang sama.
Rozina juga menasihatkan Norhaili agar tidak berkomunikasi atau berbincang dengan mana-mana pihak termasuk pasukan pembelaan, tertuduh dan pengawai penyiasat kes.
Terdahulu, Norhaili ketika menyambung keterangannya pada sesi pemeriksaan utama mengesahkan, beliau telah menurunkan tanda tangannya pada rakaman percakapan itu di hadapan pegawai SPRM.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar, selaku Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Tertuduh juga didakwa menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.