Pembakaran terbuka: Bomba terima 30 panggilan sehari - Utusan Malaysia

Pembakaran terbuka: Bomba terima 30 panggilan sehari

YAHAYA Madis memakaikan vest keselamatan kepada anggota bomba ketik melancarkan kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Perbarisan Tahunan JBPM Johor 2022 di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menerima sekurang-kurangnya 30 panggilan sehari berkenaan kejadian pembakaran terbuka di negeri ini sejak awal tahun ini. 

Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 764 kes pembakaran terbuka dilaporkan berlaku di negeri ini setakat ini. 

Katanya, antara daerah yang merekodkan jumlah panggilan tertinggi berhubung pembakaran terbuka adalah Muar dan Pontian khususnya melibatkan kawasan pertanian.

“Sejak awal tahun, JBPM Johor menerima purata 30 panggilan kecemasan sehari berkaitan pembakaran terbuka. Semua daerah di negeri ini terdapat hotspot berlakunya kegiatan itu dengan Muar dan Pontian merekodkan kes tertinggi.

“Kita percaya ketika cuaca panas ini ramai pekebun dan peladang mengambil kesempatan membersihkan kebun tanpa kawalan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Johor 2022 di Ibu Pejabat JBPM Negeri Johor, di Kangkar Tebrau, di sini hari ini.

Pada program yang sama, Yahaya turut melancarkan kempen Keselamatan Jalan Raya dan penyerahan kenderaan pacuan empat roda kepada beberapa cawangan jabatan terbabit selain menyampaikan sijil penghargaan kepada 10 pengamal media di Johor serta orang awam yang membantu agensi itu tahun lalu.

Sementara itu, mengikut statistik, antara kawasan yang kerap berlaku pembakaran terbuka adalah di Jalan Parit Sikom, Jalan Parit Ibrahim dan Benut, Pontian serta Parit Jono, Kampung Semerah dan Batu 16 Ayer Hitam-Muar, Muar.

Yahaya turut memberi peringatan kepada pemilik tapak pelupusan sampah untuk tidak membuat pembakaran terbuka dengan tujuan mengutip barang lusuh seperti besi.

Jelasnya, apabila berlakunya kebakaran, ia mudah merebak dan sukar dikawal hingga menyebabkan pihak bomba mengalami kesukaran untuk memadam kebakaran.

“Kita sudah membuat kajian, dengan keadaan kelembapan udara di negeri ini tidak mungkin sampah itu akan terbakar secara sendirinya. Pasti ada orang yang membuat pembakaran dan perkara ini perlu ditegah,” ujarnya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya