ALOR SETAR: Pelaksanaan pemberian digital dan pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) melalui aplikasi MySejahtera diperkenal di peringkat negeri dan daerah bagi pematuhan kuarantin kendiri melibatkan kes positif serta kontak rapat di rumah masing-masing.
Jabatan Kesihatan negeri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, senarai kes-kes positif dan kontak rapat dikongsikan dengan polis untuk membantu pemantauan pematuhan HSO itu.
“Masyarakat diseru memuat turun dan menggunakan aplikasi MySejahtera agar pelaksanaan digital HSO dan pemantauan kendiri melalui aplikasi MySejahtera dapat dilaksanakan kepada kes positif dan kontak rapat.
“Melalui aplikasi digital HSO ini dapat mengurangkan kesesakan kes tanpa gejala dan gejala ringan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan tumpuan penilaian dapat diberikan kepada kes positif yang memerlukan mengikut kriteria yang ditetapkan,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, individu positif Covid-19 kategori 1 (tiada gejala) dan 2A (gejala ringan), dan tidak berisiko tinggi melibatkan pesakit 60 tahun ke bawah dan tidak mempunyai sebarang komorbid tidak perlu hadir ke CAC.
“Semua kes positif akan disiasat dan mengenal pasti kontak rapat. Pelaksanaan pemberian dan pelepasan digital HSO bagi semua daerah di Kedah bagi kes positif dan kontak rapat melalui aplikasi MySejahtera. Tidak perlu hadir untuk pemakaian gelang tangan. Kontak rapat tiada gejala tidak perlu hadir ke CAC dan tidak perlu lakukan ujian pengesanan Covid-19. Mereka iberikan HSO digital dan hanya perlu jalani kuarantin di kediaman,” katanya.
Tambahnya, pelepasan digital HSO akan diberikan setelah tamat tarikh kuarantin tanpa ujian ulangan sekiranya tiada gejala. – UTUSAN