SEREMBAN: Orang ramai khususnya kaki pancing di Negeri Sembilan diminta untuk melupuskan hasil tangkapan mereka sekiranya ia terdiri daripada spesies ikan asing berbahaya yang semakin kerap ditemukan di kawasan perairan negara ini.
Pegawai Perikanan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Doreen Wee Siew Leen berkata, sekiranya pemancing melepaskan semula ikan asing seperti Peacock Bass, Baung Ekor Merah, Alligator Gar (Ikan Kepala Buaya) yang ditangkap mereka itu, ia tentunya akan terus memusnahkan ekosistem kawasan perairan tersebut termasuk menghapuskan spesies ikan asli tempatan.
“Sebenarnya, pihak kami memang ada terima banyak aduan berkaitan penemuan ikan-ikan bukan asli ni di perairan seperti sungai, tasik dan lombong.
“Sebagai contoh, penemuan ikan peacock bass di sebuah lombong di Kampung Siliau, Rantau, ikan Baung Ekor Merah di empangan Sungai Buloh, Jelebu selepas kejadian banjir lalu dan terbaharu ikan Alligator Gar yang ditangkap seorang pemancing di sebuah lombong tinggal di Kampung Lambar, Labu di sini.
“Jika ada yang terjumpa, terpancing ikan bukan asli, kami nasihatkan mereka untuk jangan lepaskan semula ke perairan dan sebaiknya dilupuskan demi menjaga sumber ikan-ikan asli yang terdapat di perairan kita,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Siew Leen berkata, terdapat beberapa kemungkinan ikan-ikan asing ini semakin kerap ditemui di perairan negara ini termasuk di Negeri Sembilan.
Alligator Gar
“Seperti penemuan ikan Alligator Gar di sebuah kolam tinggal di Labu, kemungkinan ia dilepaskan di situ oleh pemiliknya. Biasanya ikan ini semasa kecil ia kelihatan comel dan dibela di dalam akuarium. Namun semakin ia membesar dan makan dengan banyak, pemilik tidak cukup ruang untuk membelanya dan mengambil langkah mudah, ia dilepaskan.
“Terdapat juga kemungkinan, ikan-ikan ini diternak di kolam-kolam yang tidak berdaftar, dan apabila berlaku banjir, kolam ini pecah dan ia kemudian terlepas ke perairan,” katanya lagi.
Jelas beliau lagi, pihak Jabatan Perikanan Negeri Sembilan akan sentiasa melakukan penguatkuasaan terutama kepada pemilik-pemilik premis akuarium ikan hiasan yang mempunyai kebenaran untuk membela ikan-ikan asing tersebut.
“Pemilik premis ikan hiasan ini mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan jika mahu membela ikan-ikan asing ini. Kemudian kami akan mengadakan pemeriksaan dan penguatkuasaan dan memaklumkan kepada mereka bahawa ikan-ikan berkenaan tidak boleh dijual kepada orang ramai.
“Bagaimanapun terdapat juga mereka yang ingkar dan kami dapati melanggar arahan tersebut. Ada juga sesetengah kedai akuarium itu, mereka membeli ikan-ikan ini dan memasukkannya ke dalam premis tanpa memaklumkan kepada pihak kami. Apabila ikan tersebut semakin membesar, mereka melepaskan ikan itu di lombong ataupun sungai,” katanya. –UTUSAN