LANGKAWI: Coklat import yang sinonim dengan pulau pelancongan ini menjadi buruan pengunjung yang ke sini sempena cuti Tahun Baharu Cina.
Tinjauan di Kompleks Haji Ismail Group (HIG) yang menjual coklat import mendapati orang ramai berpusu-pusu mendapatkan coklat untuk dibawa pulang.
Bagaimanapun, ada beberapa coklat import yang kehabisan bekalan di rak seperti Daim.
Ada juga beberapa jenis coklat import pula diletakkan dengan had pembelian kerana bekalan yang terhad seperti Ritter Sport dan Hershey Kisses.
Seorang pengunjung dari Gurun, Nurul Syuhaida Wani Mat Isa, 30, berkata, dia ada mendengar mengenai berita mengenai kekurangan bekalan coklat di Langkawi sejak November lalu.
“Ingatkan bila datang hari ini, bekalan coklat dah penuh semula.
“Agak kecewalah sebab coklat Nutella Bready dan Bounty tiada, sebab itu antara coklat kegemaran saya,” katanya.
Bagi Robiah Jantan, 65, dari Kajang, Selangor pula, dia tidak tahu hendak membeli coklat apa kerana coklat yang dipesan keluarganya sudah habis di rak.
“Keluarga saya pesan coklat Daim dan Toblerone, tapi bila datang ke sini untuk membelinya, coklat itu sudah habis.
“Kalau sempat saya akan pergi ke kedai lain pula mana tahu di situ ada coklat yang saya cari,” ujarnya.
Muhd. Firdaus Zainal Arifin, 32 dari Ampang, Kuala Lumpur pula, dia juga mencari coklat Daim untuk dibawa pulang.
“Tapi coklat Daim dah habis, jadi saya beli sahajalah coklat yang tiada di Kuala Lumpur untuk dibawa balik.
“Kalau isteri saya masih tidak berpuas hati, mungkin kami akan beli coklat di kedai lain pula,” katanya. -UTUSAN ONLINE