ALOR GAJAH: Seorang pekerja kilang di sini nyaris maut disengat lebah selepas haiwan berbisa itu bersarang dalam topi keledar miliknya, semalam.
Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.25 petang itu, pekerja terbabit hendak pulang ke rumah selepas habis waktu bekerja, sebelum terkejut melihat sekumpulan lebah pada topi keledar yang diletak di parkir motosikal.
Beliau berkata, panggilan kecemasan diterima daripada pegawai keselamatan kilang, lantas sekumpulan empat anggota ke lokasi pada pukul 4.42 petang dan tiba 12 minit kemudian.
“Pada Sabtu, 5 Februari 2022, pukul 4.30 petang PDPA Alor Gajah telah menerima panggilan kecemasan berhubung kes lebah di sebuah kilang.
“Sejurus selepas tiba, anggota APM mengalihkan topi keledar itu ke kawasan selamat sebelum membakar kertas bagi menghalau lebah dan operasi selesai pukul 5.15 petang.
“Kejadian itu agak unik apabila lebah hinggap dalam topi keledar,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, pihaknya mengklasifikasikan kes tersebut sebagai unik memandangkan lebah kebiasaannya bersarang di pokok atau rumah.
“Lazimnya anggota kami banyak mengendalikan kes-kes membakar sarang lebah atau tebuan di pokok selain di rumah penduduk,” katanya. – UTUSAN ONLINE