PETALING JAYA: Beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai hadir di tiga pejabat milik Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi mengambil dokumen berkaitan siasatan ke atas syarikat itu.
Difahamkan, perolehan dokumen-dokumen itu bagi penelitian susulan dakwaan berlaku kesalahan salah guna kuasa oleh pegawai badan awam berkenaan.
Kesemua pegawai berkenaan hadir ketiga-tiga lokasi secara serentak kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.
Bagaimanapun, tiada pengesahan mengenai perkara ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan SPRM mula menyiasat dokumen-dokumen penting berhubung dakwaan salah guna kuasa pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) hari ini sebelum memanggil saksi-saksi untuk diambil keterangan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan kepada Utusan Malaysia, tindakan memanggil saksi-saksi bergantung kepada keterangan-keterangan yang diperoleh daripada siasatan dokumen-dokumen terbabit. – UTUSAN