SHAH ALAM: Dikejutkan dengan berita rakan gandingannya M. Thinaah disahkan positif Covid-19, Pearly Tan tidak menafikan berasa terkejut dan tidak menduga sama sekali dia terpaksa beraksi tanpa pasangannya itu dalam perlawanan pembukaan Kumpulan Y pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di di Pusat Konvensyen Setia City di sini, hari ini.
Pemain berusia 22 tahun itu ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berakhir berkata, Thinaah ada menghubunginya dan memaklumkan tentang berita sedih tersebut.
“Apabila dia bagi tahu, saya memang terkejut, saya tak tahu nak kata apa. Tapi BATC merupakan kejohanan berpasukan, jadi, masalah yang menimpa Thinaah kita masih boleh atasi,” katanya.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kenyataan menerusi Facebook, hari ini, mendedahkan tentang berita buruk tersebut dan Pearly yang merupakan kontak rapat juga perlu menjalani ujian swab Covid-19.
Mujur keputusan yang keluar adalah negatif dan Pearly diberi lampu hijau untuk bermain.
Pearly yang kelihatan sedikit sebak apabila pemberita mengajukan persoalan mengenai Thinaah memberitahu, walau apa juga keputusan yang keluar dia perlu menerimanya dengan hati terbuka.
“Jurulatih juga ada bagi tahu saya supaya fokus kepada perlawanan. Apabila diminta berpasangan dengan Veleree (Siow) saya tiada masalah.
“Lagipun kami biasa bermain bersama ketika sesi latihan, jadi tiada masalah untuk cari keserasian,” ujarnya.
Sementara itu, Veleree pula menjelaskan, dia tidak menduga akan berpasangan dengan Pearly, hari ini, dan bermain bersama pemain yang menghuni ranking No. 15 dunia merupakan satu pengalaman yang baik untuknya.
“Saya sebenarnya sudah bersedia untuk digandingkan dengan sesiapapun dan komunikasi yang baik antara kami telah membantu kemenangan untuk Malaysia,” katanya.
Dalam perlawanan Kumpulan Y, hari ini, Malaysia menewaskan Jepun 3-2 dan akan turun beraksi menentang India, esok.
Sementara itu, skuad badminton lelaki negara pula bakal menghitung pertemuan dengan negara tetangga, Singapura juga esok pada waktu yang sama dengan pasukan wanita turun beraksi iaitu pukul 4 petang. – UTUSAN ONLINE