KOTA KINABALU: Kemasukan 7,900 ahli baharu ke dalam Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) memberi isyarat bahawa parti itu semakin mendapat tempat di hati rakyat.
Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, perkembangan terbaharu itu menunjukkan sokongan rakyat terhadap PBRS sebagai satu-satunya parti tempatan Sabah dalam komponen Barisan Nasional (BN) yang kini sedang giat diperluaskan ke seluruh kawasan Parlimen.
Kemasukan 7,900 orang ahli itu dari kawasan Parlimen Ranau, Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau, KualaPenyu, Membakut dan Sindumin.
Penyertaan pemimpin-pemimpin Sabah dalam PBRS juga menunjukkan mereka sangat yakin dengan perjuangan dan hala tuju parti yang sentiasa konsisten menyuarakan tentang kepentingan serta hak-hak rakyat Sabah tidak kira semasa berada dalam kerajaan mahupun pembangkang.
“Dalam tempoh dua tahun ini, kita telah mengalami pelbagai cabaran luar biasa seperti krisis kesihatan, ekonomi dan politik. Ia mengakibatkan ketidakstabilan berlaku dalam negara.
“Pada masa ini, kita memerlukan kestabilan dan perpaduan daripada semua untuk kita bergerak ke hadapan.
“Maka, saya yakin BN adalah pilihan terbaik untuk mengembalikan kestabilan yang sangat diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Timbalan Menteri Kerja Raya, yang juga Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata, PBRS optimis untuk terus bekerja demi memperjuangkan pembangunan dan kemajuan Sabah.
“Justeru, marilah kita ‘misompuru’ atau bersatu untuk memantapkan parti ini dan terus maju kehadapan demi kecemerlangan rakyat Sabah,” katanya.
Pada 9 Januari lalu, kira-kira 10,000 bekas Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan ahli Parti Cinta Sabah (PCS) serta ahli Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) keluar meninggalkan parti masing-masing untuk menyertai PBRS. -UTUSAN ONLINE