GEORGETOWN: Sekumpulan kaki pancing berdepan detik cemas hampir setengah jam apabila terpaksa berpaut dan berlindung di sebalik tiang bawah Jambatan Pulau Pinang, di sini ketika kejadian angin kencang, kelmarin.
Mereka dikatakan sedang memancing ikan di atas tembok sebelum angin kuat disusuli air laut bergelora sehingga mencecah tapak tiang itu dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 petang.
Berkongsi pengalaman mencemaskan itu, seorang nelayan tempatan yang mahu dikenali sebagai Rashid, 37, berkata, ketika itu terdapat kira-kira 10 kaki pancing berada di tiang bawah jambatan berkenaan.
“Pemandu bot pancing tidak dapat mengambil mereka pulang ke jeti berhampiran berikutan tiupan angin sangat kuat manakala laut bergelora.
“Keadaan ketika itu sangat bahaya dan begitu menakutkan. Kami tidak berani keluar dari jeti bimbang berlaku bot karam di lautan.
“Kaki pancing di situ ada memaklumkan yang mereka sangat cemas semasa angin kencang berlaku selain terpaksa berpaut pada tiang termasuk berdiri sambil memegang erat peralatan memancing di sebalik konkrit itu selama hampir setengah jam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Jelasnya, keadaan laut dilaporkan kembali tenang selepas setengah jam kemudian dan ia kejadian pertama kali berlaku di lokasi itu. – UTUSAN ONLINE