PETALING JAYA : Biarpun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membantu menyenaraikan dua daripada tujuh calon jurulatih tempatan sebagai pembantu jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan-Gon. Namun dia lebih berminat berjumpa ke semua calon.
Jurulatih dari Korea Selatan itu berkata dia lebih berminat untuk bertemu tujuh jurulatih itu secara peribadi, minggu depan.
Daripada sekadar bertemu dua calon yang disenarai pendek oleh FAM, beliau mahu bertemu dengan semua.
Bekas jurulatih pasukan Hong Kong berusia 53 tahun itu berkata dia telah menerima beberapa resume dan ketika ini sedang meneliti individu yang terbaik berdasarkan keperluannya.
“Proses itu mungkin tidak mengambil masa terlalu lama kerana saya memerlukan seseorang, jurulatih tempatan, untuk membantu saya dan memberi saya maklumat yang betul.
“Dia perlu tahu tentang pemain tempatan, komited, jujur dan setia kerana saya perlu membina kepercayaan kepada individu itu.
“Perkara paling penting adalah Individu itu mempunyai pengetahuan yang baik tentang bola sepak,” katanya.
Tujuh calon itu ialah bekas penolong jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Ismail Ibrahim]; jurulatih Piala Belia Selangor Firdaus Tan Aziz dan jurulatih Polis Wan Rohaimi Wan Ismail.
Turut tersenarai bekas penolong jurulatih pasukan kebangsaan, Wan Mustafa Wan Ismail dan jurulatih Sarawak United E. Elavarasan.
Selain itu adalah bekas jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan dan bekas jurulatih Kedah Azraai Khor Abdullah. – UTUSAN