KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya, Pakej Kesejahteraan Keluarga Malaysia Kuala Lumpur diperkenal sempena ulang tahun Bandaraya Kuala Lumpur kali ke-50.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pakej itu dilaksanakan bagi meningkatkan lagi kualiti kehidupan rakyat terutama warga Kuala Lumpur.
Katanya, pakej itu dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Bagi menjamin kehidupan yang sihat, DBKL menyediakan laluan pejalan kaki, laluan basikal dan jaringan hijau dengan mengutamakan keselesaan dan keselamatan pengguna.
“Bagi menggerakkan aktiviti ekonomi, DBKL menaik taraf gerai penjaja di pusat penjaja yang telah usang termasuk kelompok-kelompok gerai di tepi jalan yang berlesen.
“Selain itu, DBKL kini dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya sifar miskin tegar bagi membolehkan warga kota mendapat kehidupan lebih selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Bandaraya Kuala Lumpur malam ini.
Selain itu, kata Ismail Sabri, DBKL juga akan membina 5,000 council home dengan keluasan minimum 750 kaki persegi untuk disewakan kepada warga kota.
Tambahnya, DBKL turut melaksanakan pembaikan lif melibatkan 306 lif di 31 lokasi projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.
Beliau memberi jaminan bahawa pelbagai inisiatif akan dilakukan termasuk kelulusan lesen premis perniagaan dalam tempoh 24 jam bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang pantas secara dalam talian.
“Keputusan status permohonan permit pembinaan bagi pembangunan berskala kecil juga akan dipercepat iaitu dalam tempoh tiga hari.
“Untuk menggalakkan warga kota melakukan urusan secara dalam talian, insentif pembayaran yang melibatkan semua fi permohonan, akan diberikan rebat 10 peratus sepanjang tahun 2022,” katanya.- UTUSAN ONLINE