BUTTERWORTH: Memandu tanpa lesen dan lesen tamat tempoh antara kesalahan paling banyak direkodkan ketika Operasi Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Juru arah utara, di sini malam tadi.
Dalam operasi terbabit, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 181 notis bagi pelbagai kesalahan antaranya kesalahan berkaitan pelesenan pemandu (69 notis); pelesenan kenderaan (35 notis); cermin gelap (28 notis); nombor pendaftaran (15 notis) dan lain-lain (34 notis).
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, sebanyak 895 kenderaan diperiksa dan 132 daripadanya turut dikenakan tindakan.
Katanya, operasi terbabit memfokuskan penguatkuasaan kesalahan utama jalan raya membabitkan pemeriksaan berkaitan lesen memandu dan cukai jalan.
“Kita mahu lihat pengguna jalan raya yang ingin kembali ke kediaman masing-masing selepas tamat bercuti tiba dengan selamat. Kerjasama dengan pelbagai agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dapat memastikan pemandu mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu malam tadi. – UTUSAN ONLINE