KOTA BHARU : Negeri Sembilan (NS) Antlers dipaksa ‘mandi peluh’ oleh Perak Bison sebelum meraih kemenangan 2-1 pada aksi Premier kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 di Kompleks Sukan Panji di sini, sebentar tadi.
Pada perlawanan tersebut Perak Bison yang terpaksa menggunakan khidmat dua perejam selepas pengumpan pasukan itu Azwan Muhrim mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, dua perejam Perak Bison iaitu Mazdrul Aziq Tahir dan Amirul Ramadhan Fazillah berjaya mengemudi permainan menerusi pungutan mata 12-10.
NS Antlers berjaya menyamakan kedudukan menjadi 17-17 menerusi rejaman Khairul Zaman Hamir yang gagal disekat oleh pemain Perak Bison.
Dominasi Perak Bison berterusan selepas itu apabila berjaya menutup kemenangan set pertama menerusi kiraan 21-18.
Namun, set kedua kembali berpihak kepada NS Antlers dengan kemenangan mudah 21-4 sekaligus mengheret aksi ke set penentuan.
Aksi penentuan berpihak kepada NS Antlers dengan kemenangan 21-14 untuk mengutip mata dalam perlawanan tersebut.