Nelayan dikhuatiri hilang bot karam

Nelayan dikhuatiri hilang bot karam

NELAYAN yang diselamatkan dalam kejadian bot karam dipindahkan ke atas bot milik Maritim Malaysia di Pulau Payar, Langkawi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Seorang nelayan warga Thailand dikhuatiri hilang selepas bot dinaikinya karam ketika menangkap ikan berdekatan Pulau Payar, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10.40 pagi itu, seorang lagi nelayan daripada 16 kru bot yang terselamat dilaporkan mengalami kecederaan ringan di tangan dan dada.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, pihaknya masih melakukan operasi mencari dan menyelamat nelayan yang dikhuatiri hilang itu.

Menurutnya, bot nelayan tempatan itu karam ketika berada di kedudukan lebih kurang 5.0 batu nautika, barat laut Pulau Payar di sini.

“Bot nelayan Kelas A bernombor pendaftaran KHF 886 itu mengalami kerosakan pada hos salur masuk air laut yang menyebabkan air memasuki bilik jentera dan menenggelamkan bot dalam masa yang singkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi menerima panggilan kecemasan daripada orang awam dan operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan pada pukul 11.15 pagi dan bot Penyelamat 5 serta Perkasa 1224 Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik sahaja bot ronda Maritim Malaysia tiba di tempat kejadian, seramai 16 daripada 17 kru bot, warga Thailand termasuk tekong berumur lingkungan 27 hingga 57 tahun telah diselamatkan oleh dua bot nelayan tempatan yang berada di sekitar itu, sebelum dipindahkan ke bot Penyelamat 5. 

“Salah seorang mangsa yang terselamat mengalami kecederaan ringan di  tangan serta dada manakala seorang lagi mangsa, Phanu Tarurak, 27, juga warga Thailand masih hilang,”  ujarnya.

Tambahnya, mangsa yang selamat telah diserahkan kepada majikan mereka manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Malihah di sini untuk rawatan lanjut. 

Zawawi memberitahu,, usaha mengesan dan mencari seorang lagi mangsa yang disyaki tenggelam bersama bot tersebut turut  mendapatkan khidmat penyelam daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Selain itu, pemilik bot juga dilaporkan menggunakan khidmat pasukan penyelam bebas bagi mencari nelayan itu di samping melakukan kerja-kerja untuk menimbulkan semula bot berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya