SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan bimbang berlaku kekurangan bekalan ayam terutama selepas penetapan harga maksimum runcit bagi ayam standard sebanyak RM8.90 sekilogram oleh Kerajaan Persekutuan yang bermula semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau khuatir selepas berlaku kekurangan bekalan telur di pasaran, bekalan ayam turut mengalami nasib serupa ekoran golongan penternak terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi terutama berkaitan harga makanan ternakan yang tinggi.
“Kita tahu bahawa kenaikan harga ayam disebabkan oleh kenaikan harga makanan ternakan ayam, saya dimaklumkan (ketika ini) berlaku kekurangan bekalan telur. Apabila ditetapkan harga, penternak tidak mampu menampung kos operasi mereka jadi sekarang tiada bekalan telur, saya khuatir bekalan ayam pula berkurangan.
“Saya harap kementerian bertanggungjawab khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dapat berbincang dengan penternak dan pengusaha serta pembekal makanan (ternakan) untuk sama-sama duduk dan cari jalan penyelesaian, mencari titik noktah dan mencari mana sebenar kosnya.
“Isu harga ayam tidak akan selesai jika golongan penternak dan pengeluar mengurangkan ternakan disebabkan kos. Kerajaan Persekutuan perlu buat dasar memastikan bahawa mereka mampu beri subsidi makanan ternakan dan pastikan bahawa harga yang dibekalkan kepada pengguna adalah harga yang sebenarnya,” katanya.
Aminuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Temasya Sepak Takraw Piala Menteri Besar Negeri Sembilan di Paroi di sini hari ini.
Dalam pada itu, ditanya sama ada kerajaan Negeri Sembilan mahu mengikuti langkah Kerajaan Negeri Selangor untuk menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM8 sekilogram, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai kemampuan untuk melakukan hal yang serupa.
“Kita kena kaji perkara tersebut, Negeri Sembilan bukan pengeluar ayam, hanya tempat pengusaha ayam menternak ayam. (Untuk) berikan subsidi, kerajaan negeri tidak mampu, harga ayam tinggi kita beri subsidi, (jika) esok turun (harga ayam) bagaimana pula, ini harus bijaksana,” kata beliau lagi.
Sementara itu, kejohanan sepak takraw tersebut yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (Tabah) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) diharap dapat terus membangunkan sukan sepak takraw di negeri selain mencari bakat-bakat baharu dalam sukan tersebut. – UTUSAN ONLINE