Penyokong United boleh tukar jersi Greenwood
MANCHESTER: Manchester United mengesahkan penyokong mereka boleh menukar jersi yang mempunyai nama Mason Greenwood di belakangnya secara percuma.
Kelab itu mengeluarkan semua barangan yang berkaitan dengan penyerang itu dari laman sesawang mereka, dengan peminat yang berang mengembalikan jersi replika mereka ke kedai kelab di Stadium Old Trafford.
Nike turut menggantung perjanjian penajaan mereka dengan Greenwood, manakala penaja jersi United TeamViewer berkata mereka akan memantau perkembangan dengan teliti.
Rakan kongsi rasmi Cadbury, tidak akan menampilkan pemain itu dalam produk pemasaran mereka.
Jurucakap United berkata peminat boleh menukar jersi mereka kepada yang baharu dengan nama pemain lain di belakangnya.
Nama Greenwood turut dikeluarkan daripada senarai pemain dalam stor atas talian kelab, dengan pencarian namanya tidak berhasil.
Semalam, kediamannya di Cheshire menjadi seperti kubu, selepas dia diikat jamin oleh polis susulan siasatan lanjut di atas dakwaan rogol, serangan seksual dan ancaman membunuh.
Pemain 20 tahun itu ditahan tiga malam di lokap selepas ditangkap Ahad lalu, tetapi dibebaskan pagi semalam selepas soal siasat.
Berikutan perkembangan terkini itu, United menerusi satu kenyataan mengulangi pendirian kelab itu.
“Manchester United mengulangi pendirian mengecam sekeras-kerasnya terhadap sebarang bentuk keganasan.
“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, Mason Greenwood tidak akan berlatih atau bermain untuk kelab sehingga diberitahu kelak,” kata kelab tersebut.
Dua pengawal keselamatan peribadi mengawal rumah, yang difahamkan milik bekas pemain Liga Perdana Inggeris, selain kamera litar tertutup (CCTV) turut ditambah bagi meningkatkan lagi sistem keselamatan rumah.
Greenwood ditahan susulan rakaman video, gambar dan audio dimuat naik mangsa, namun ia sudah dipadam.
Dia kemudian ditahan kerana disyaki menyerang dan mengancam untuk membunuh mangsa. – AGENSI