PETALING JAYA: Kecenderungan pemain ‘lari’ ke futsal kerana ia menawarkan lebih banyak pertandingan berbanding bola sepak sekali gus menyukarkan Malaysia untuk mendapatkan pemain.
Jurulatih skuad bola sepak wanita kebangsaan, Asyraaf Fong Abdullah mengakui itu adalah masalah utama dihadapinya.
“Sukar untuk mencari pemain berkualiti dan kebanyakan yang dapat kurang layak. Nak pilih 11 orang yang benar-benar terbaik, memang agak sukar.
“Tidak banyak kejohanan untuk bola sepak wanita di Malaysia, kalau ada pun berlangsung dalam tempoh yang singkat sekali gus menyebabkan pemain kurang bersedia dari segi fizikal dan pengetahuan taktikal bila datang ke kem latihan.
“Lagipun ramai pemain wanita memilih sukan futsal, maka bertambah kurang jumlah pemain tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Baru-baru ini, Vietnam dan Filipina memahat sejarah layak ke Piala Dunia Wanita 2023, mengikuti jejak Thailand yang menjadi negara Asia Tenggara pertama beraksi di pentas berprestij itu pada 2015 dan 2019.
Biarpun menunjukkan perkembangan baik berbanding sebelum ini, namun bola sepak wanita di negara masih jauh ketinggalan berbanding beberapa negara Asia Tenggara lain.
Mengulas lanjut, Asyraaf, pengendali kelahiran Sabah mencadangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mewujudkan liga kebangsaan dan mengadakan kejohanan mengikut peringkat umur.
“Liga kebangsaan seperti lelaki perlu diwujudkan atau paling kurang buat dalam bentuk sirkit sebagai permulaan. Jadi, pemain wanita dapat ruang dan peluang berlatih untuk jangka masa panjang.
“Kejohanan peringkat umur seperti bawah 17 tahun dan 14 tahun itu adalah sebagai satu cara kembangkan bola sepak akar umbi,” jelasnya.
Asyraaf yang mengendali skuad wanita kebangsaa pada 2015 hingga 2017 berjaya menaikkan ranking negara dari kedudukan 90 kepada 82 sebelum jatuh ke tangga ke-88.