PETALING JAYA: Muka-muka baharu yang dihantar kebanyakan pasukan dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 menjadi cabaran terbesar buat skuad wanita negara apabila memulakan kempen dengan menentang India hari ini.
Pemain beregu utama negara, Pearly Tan mengakui, saingan Kumpulan Y amat berliku kerana dia kurang mengenali kebanyakan pemain yang diturunkan pencabar mereka, India dan Jepun.
Bagaimanapun katanya, pengalaman beraksi dalam kejohanan sebelum ini dan beberapa pertandingan antarabangsa akan digunakan untuk membawa Malaysia melayakkan diri ke Piala Uber di Bangkok, Mei depan selaku empat pasukan terbaik BATC.
“Bila saya lihat senarai pemain dalam Kumpulan Y, semuanya pemain baharu, kami belum pernah bertemu mereka sebelum ini.
“Begitupun kami percaya mereka mempunyai kekuatan tersendiri dan sudah tentu permainan akan menjadi lebih menarik kerana kami semua bakal berlawan untuk kali pertama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai prestasinya yang merosot dalam beberapa kejohanan terakhir tahun lalu biarpun memulakan 2021 dengan muncul juara Terbuka Switzerland, Pearly berkata, itu pengalaman pertamanya bersama M. Thinaah menyertai kejohanan secara berturut-turut dalam tempoh tiga bulan.
“Saya tidak rasa kami tertekan, cuma kami tidak pernah bertanding selama tiga bulan berturut-turut. Jadi kecergasan kami berkurang, prestasi kami juga menurun sebab kami letih dan terkejut.
“Pada waktu itu kami lebih banyak bertahan berbanding membuat serangan, jadi sudah tentu permainan jadi bosan dan kami sangat mudah ditewaskan,” katanya.
Selepas berdepan India, Malaysia akan menentang juara bertahan, Jepun dalam perlawanan kedua di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam esok. – UTUSAN