PETALING JAYA: “Mohon titipkan juga doa-doa yang baik agar zuriat di pangkuan kami ini mampu menjadi khalifah yang dapat memberikan kebaikan kepada agama dan negara.”
Itu doa dimohon suami pengacara dan pelakon popular, Neelofa, Haris Ismail yang mengumumkan kelahiran anak sulung mereka Sabtu lalu pada pukul 3.44 petang.
Haris dalam kenyataan sama turut meluahkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana segala urusan bersalin berjalan lancar.
Pasangan sama cantik sama padan itu memilih Muhammad Bilal Muhammad Haris sebagai nama bayi lelaki berkenaan.
“Assalamualaikum. Alhamdulillah, puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT untuk segala berkat dan rahmat-Nya. Isteri saya, Noor Neelofa Mohd. Noor telah selamat melahirkan putera sulung kami pada 29 Januari 2022 jam 3.44 petang.
“Syukur Alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan. Kini isteri saya sedang berehat dan kami sedang melalui satu fasa yang sangat menggembirakan untuk kami sekeluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Haris menzahirkan penghargaan kepada semua yang menitipkan doa buat mereka selain memohon orang ramai mendoakan bayinya menjadi khalifah yang memberi kebaikan kepada agama dan negara.
“Saya dan Neelofa ingin merakamkan jutaan penghargaan dan rasa penuh bersyukur atas doa yang dikirim oleh anda semua.Terima kasih atas ingatan kalian sejak kami mendirikan rumah tangga sehinggalah kami menimang cahaya mata.
“Sebagaimana kalian mendoakan kesejahteraan saya dan isteri tahun lalu. Mohon titipkan juga doa-doa yang baik agar zuriat yang berada di pangkuan kami ini mampu menjadi khalifah yang dapat memberikan kebaikan kepada agama dan negara,” ujarnya panjang.
Untuk rekod, Neelofa dan Haris mendirikan rumah tangga pada 27 Mac tahun lalu, di hotel terkemuka di ibu kota. – UTUSAN ONLINE