PUTRAJAYA: Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dilantik sebagai Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkuat kuasa hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, pelantikan itu dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, Mohamed Azam berpengalaman luas dalam bidang akademik, penyelidikan, pengurusan dan pentadbiran serta dakwah di media.
Katanya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia itu merupakan lulusan ijazah doktor falsafah dalam jurusan undang-undang pada tahun 2007 juga di University of London, United Kingdom.
“Dalam dunia akademik di institusi pengajian tinggi, beliau bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bermula tahun 1990 sehingga 2020. Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah, Kumpulan CIMB pada tahun 2014 sehingga 2017.
“Penulisan akademik serta syarahan beliau khususnya dalam bidang perundangan Islam sentiasa menjadi rujukan sehingga peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Idris berkata, ketokohan latar belakang Mohamed Azam diyakini mampu melakar kegemilangan IKIM sebagai sebuah institusi Islam yang menjalankan kajian, penyelidikan berkaitan pemerkasaan umat Islam dalam pelbagai bidang.
Pada masa sama, beliau diharap dapat memperkasa aspek penerangan kefahaman Islam termasuk melalui penyiaran Islam Radio IKIM.
“Saya mengucapkan tahniah atas pelantikan ini. Selamat menjalankan amanah ini dengan sepenuh hati demi agama, negara dan ummah.
“Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan pedoman dalam setiap tindakan yang dilaksanakan,” katanya.
Dilahirkan pada 18 Jun 1966, Mohamed Azam juga berkelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang Syariah di Universiti Malaya pada tahun 1990 dan seterusnya menyambung pengajian di peringkat sarjana pada tahun 1993 di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London, United Kingdom. -UTUSAN ONLINE