Melaka juara Divisyen 1 - Utusan Malaysia

Melaka juara Divisyen 1

MELAKA Titans muncul juara Divisyen 1 kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 setelah mengetepikan cabaran KPT-Masum Knights di final yang berlangsung sengit, sebentar tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Melaka Titans dinobatkan selaku juara Divisyen 1 kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 setelah mengetepikan cabaran KPT-Masum Knights dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit di Stadium Titiwangsa dekat sini, malam ini.

Pertembungan dua pasukan terbaik Divisyen 1 tersebut menyaksikan KPT-Masum yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Ahmad Sufi Mohamed Hashim itu mempamerkan persembahan meyakinkan apabila membuka aksi dengan mendahului 4-0,sebelum menjarakkan kedudukan 10-8.

Bagaimanapun, Melaka yang lambat panas, secara perlahan-lahan mula mendapatkan rentak permainan apabila regu yang dibarisi Sahidan Md Ali (tekong), Mohd Fadzil Baharudin (apit kanan) dan Muhammad Umar Mohamad (apit kiri) berjaya merapatkan kutipan mata kepada 14-16.

Namun, usaha tersebut agak terlewat untuk bangkit apabila KPT-Masum menutup aksi set pertama dengan kemenangan 21-16.

Perlawanan yang disambung dalam set kedua, memperlihatkan Melaka mula selesa dengan permainan apabila anak-anak buah Riduan Ramli itu kali pertama meletakkan diri mereka di hadapan pasukan lawan setelah mendahului 11-6.

Pertemuan yang berlangsung semakin sengit menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 12-12, sebelum Melaka kembali meletakkan jurang mata kepada 17-13 dan akhirnya berjaya mengheret perlawanan ke set penentuan setelah menang 21-17.

KPT-Masum yang diperkuatkan Mustaqim Zainordin (apit kiri), Najmi Syahfiq Anuar (tekong) dan Amir Syahiran Mohd Fuzi (apit kanan) tidak mudah berputus asa, sekalipun dipaksa bermain dalam set ketiga setelah mengikat Melaka 6-6 dan kemudian 7-7.

Perlawanan yang berlanjutan selama lebih sejam itu akhirnya menemui titik noktah apabila Melaka menyempurnakan aksi mereka dengan kemenangan 21-12 ke atas KPT-Masum.

PEMAIN Melaka Titans bersorak gembira selepas berjaya menewaskan KPT-Masum Knights.

Ketua jurulatih Melaka, Riduan ketika ditemui Utusan Malaysia selepas perlawanan berakhir berkata, dia berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya, walaupun mereka tewas dalam set pertama.

“Para pemain beraksi goyah dalam set pertama apabila pertahanan agak longgar dan selepas saya menegur Fadzil baharulah permainan mereka berubah.

“Saya bersyukur akhirnya kejuaraan menjadi milik kami, setelah agak lama kami menantikan kejayaan ini,” katanya.
Kejayaan tersebut menyaksikan Melaka membawa pulang trofi kejuaraan, hadiah wang tunai RM12,000 beserta pingat, manakala KPT-Masum yang muncul selaku naib juara memenangi RM10,000 dan juga pingat.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Pemangku Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Akramuddin Ab Aziz.

Sementara itu, dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat yang berlangsung petang tadi, berkesudahan Kedah Eagles menumpaskan Labuan Drillers menerusi kemenangan straight set 21-19, 21-11.

Sebagai pemenang tempat ketiga, Kedah memperoleh hadiah wang tunai RM7,000 dan pingat, manakala Labuan memenangi RM5,000 serta pingat.

Bagi anugerah pemain terbaik, untuk posisi tekong dimenangi oleh Najmi Syafiq dari KPT-Masum Knights, apit kanan pula menjadi milik Mohamad Firdaus Muhammad dari pasukan Kedah Eagles dan apit kiri terbaik, Muhammad Umar dari Melaka Titans. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya