PARIS : Kylian Mbappe membuktikan mengapa Real Madrid begitu meminati selepas menjaringkan gol tunggal untuk memberi kelebihan buat Paris Saint-Germain (PSG) ke Santiago Bernabeu 9 Mac ini.
Jaringan itu hadir pada masa kecederaan minit terakhir perlawanan untuk mengatasi Real Madrid 1-0 pada aksi pusingan pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara (UCL), kelmarin.
Los Blancos dilihat lebih banyak bertahan selepas menerima serangan bertali arus pada separuh masa pertama daripada PSG di Parc des Princes.
“Kami sangat gembira mempunyai sedikit kelebihan namun masih ada perlawanan timbal balik dan perlu memastikan kami membuat persiapan yang baik di tempat lawan,” katanya.
Sementara itu, pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti mengakui kecewa apabila pasukannya pulang dengan ‘tangan kosong’.
Bagaimanapun, Ancelotti menegaskan barisan pemainnya telah melakukan yang terbaik dan mereka tidak wajar disalahkan sepenuhnya meskipun dilihat kurang agresif berbanding kebiasaan apabila jentera serangan dilihat tidak berfungsi.
“Saya lihat barisan pertahanan kami tidak mempunyai masalah tetapi jentera tengah dan serangan tidak cukup ampuh dan agresif dalam memastikan kami dapat mengawal bola serta perlawanan dengan baik.
“Situasi tersebut menyaksikan jentera serangan kami seperti Marco Asensio, Vinicius Jr dan Karim Benzema tidak dapat melakukan percubaan bahaya ke gawang lawan. Namun, ini bukan bermakna kami akan menyerah kerana kami memiliki kelebihan beraksi di Santiago Bernabeu selepas ini,” katanya.
Sementara itu, penjaga gol Real, Thibaut Courtois enggan mendabik dada selepas berjaya menyelamatkan pasukan daripada dibolosi lebih banyak gol selepas menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya, terutama menafikan sepakan penalti yang diambil oleh Lionel Messi pada babak kedua.
“Saya bernasib baik kerana sudah bertemu dengan Messi banyak kali menerusi penentuan sepakan penalti dan daripada situ saya belajar arah tendangan yang mungkin dilakukannya,” kata penjaga gol antarabangsa Belgium itu. – AGENSI