KLANG: Mayat seorang lelaki yang hilang selepas terjun ke dalam Sungai Klang akhirnya ditemukan oleh pasukan penyelamat di Jambatan Diauddin, Jalan Tengku Kelana, di sini petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan penyelamat berjaya menemui mangsa, M. Navalan, 21, kira-kira pukul 5.35 petang.
“Mangsa ditemukan kira-kira 200 meter daripada lokasi dia terjun semalam dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, seorang saksi kejadian mengatakan ada terlihat mangsa terjun ke dalam sungai, semalam, lantas terus melaporkan insiden itu kepada pihak polis.
Kata Norazam lagi, anggota penyelamat telah menemukan sebuah beg berwarna coklat dan bekas minuman di tepi jambatan tersebut, yang dipercayai milik mangsa.
“Sejumlah 10 anggota bomba daripada balai bomba dan penyelamat Pelabuhan Klang dan Shah Alam telah terlibat dalam operasi ini.
“Turut terlibat dalam operasi ini adalah empat anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara serta lima anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Klang,” ujarnya.
Semalam seorang lelaki dilaporkan terjun ke dalam Sungai Klang di Jambatan Diauddin.
Insiden sedemikian merupakan kejadian kedua berlaku sepanjang minggu ini kerana sebelum itu selepas kejadian pertama di Jambatan Raja Muda pada Selasa lalu. –UTUSAN ONLINE