KUALA TERENGGANU: Seorang mat rempit ditahan kerana melakukan aksi ‘Superman’ secara berulang kali dengan menggunakan dua motosikal berasingan dalam Op Samseng Jalanan sempena OP Selamat 17 di Besut, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Ismail Man berkata, suspek yang berusia 25 tahun itu ditahan di Jalan Keruak, Hulu Besut pada pukul 7.05 malam.
Katanya, lelaki yang bekerja sebagai pelayan kedai makan itu dikesan menunggang secara berbahaya dalam jarak sejauh 300 meter secara berulang kali.
“Pada peringkat awal, suspek menunggang motosikal Honda EX5 berwarna hitam sebelum menukar kepada motosikal jenis sama berwarna biru.
“Selain itu, seorang lagi suspek ditahan dalam operasi berasingan pada pukul 1.30 petang di Jalan Bukit Kluang kerana melakukan aksi ‘wheelie’ berulang kali,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Menurut beliau, dalam operasi itu, pihaknya turut merampas 180 biji pil dipercayai dadah milik seorang penunggang motosikal berusia 24 tahun di Pantai Air Tawar.
Katanya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah dalam badan.
Sementara itu, menurut Ismail, sebanyak 357 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi itu dengan 544 kenderaan dan 604 individu diperiksa.
“Sehingga kini, tujuh tangkapan dibuat dalam Op Selamat 17 dan 15 kenderaan disita,” katanya. – UTUSAN ONLINE