Masjid terapung pertama di Kedah masih belum siap - Utusan Malaysia

Masjid terapung pertama di Kedah masih belum siap

PEMBINAAN masjid terapung berharga RM15 juta yang terbengkalai di Kampung Ruat, Yan, Kedah. –UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Lebih 500 penduduk di sekitar Kampung Ruat di sini kecewa apabila pembinaan sebuah masjid terapung di kampung itu pada 2017 kini terbengkalai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

Masjid terapung berharga RM15 juta tersebut akan menjadi bangunan ikon dan masjid pertama di negeri ini dibina di atas permukaan laut dengan menggunakan tiang tanpa penambakan laut itu dijadualkan siap pada 2018.

Namun setakat ini projek masjid tersebut yang akan menjadi pemangkin dan mercu tanda pembangunan ummah khususnya di daerah ini hanya dapat disiapkan kira-kira 50 peratus sahaja.

Pembinaan masjid yang bakal menjadi mercu tanda dan tarikan pelancongan baharu di daerah ini juga dapat memberi kemudahan kepada penduduk di Kampung Ruat, Kampung Kuala Raga, Kampung Pantai Murni, Taman Samudera dan Taman Permatang Chengai.

Seorang penduduk Kampung Kuala Raga, Mohd. Fauzi Abu Yazid, 56, berkata, penduduk berdekatan sebelum ini menggunakan masjid lama di Kampung Ruat untuk solat Jumaat atau solat waktu jemaah.

Bagaimanapun, katanya, masjid lama itu tidak lagi menampung kapasiti jemaah yang semakin bertambah apabila beberapa taman perumahan baharu dibuka di sini.

“Pembinaan masjid terapung di Kampung Ruat itu menggembirakan penduduk kerana mereka mendapat kemudahan sebuah masjid baharu yang lebih besar dan selesa.

“Bagaimanapun penduduk kini kecewa apabila projek pembinaan masjid yang indah di pinggir pantai itu telah terbengkalai kira-kira dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Masjid terapung itu apabila siap dapat menampung seramai 1,020 jemaah dan dibangunkan di kawasan seluas 2.19 hektar.

Penduduk Kampung Pantai Murni, Sobri Ahmad, 61, pula berharap pembinaan masjid terapung itu dapat diteruskan semula selepas lama terbengkalai.

Penduduk Kampung Kuala Raga, Abdul Rahman Ahmad, 57, berharap kerajaan negeri dapat campur tangan dalam memastikan projek pembinaan masjid itu dapat disegerakan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya