GEORGETOWN: Masalah pekerja yang dihadapi oleh pengusaha kedai nasi kandar terus meruncing ekoran penutupan pintu sempadan negara kepada pekerja asing.
Sejak Oktober tahun lalu, mereka berdepan kehilangan hampir separuh pekerja khususnya warga asing yang belum dibenarkan masuk ke negara ini bagi berkhidmat dalam sektor perkhidmatan makanan.
Seorang peniaga restoran nasi kandar, Muhammad Azmin Mohamed Maideen, 31, berkata, restorannya berdepan masalah kekurangan pekerja yang kritikal dan bertambah teruk selepas pandemik Covid-19.
Menurutnya, walaupun tawaran sudah dibuat kepada rakyat tempatan, sambutan diterima hambar kerana sektor perkhidmatan makanan tidak diminati oleh mereka.
“Masalah pekerja ini meletakkan para perniaga restoran menjadi semakin parah dan sukar untuk kami meneruskan operasi.
“Kami merayu pihak berkuasa mempermudah urusan mengambil pekerja asing, disebabkan sektor restoran tidak diminati oleh warga tempatan,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini, Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia berkata, ketika ini hanya terdapat kira-kira 20,000 pekerja asing yang bekerja dalam sektor makanan tersebut di negeri ini berbanding 40,000 orang sebelum berlakunya pandemik Covid-19.
Menurut Muhammad Azmin, dia mempunyai kira-kira tujuh pekerja tempatan namun tidak mencukupi untuk menampung operasi restorannya kerana sikap pekerja tempatan yang agak ‘culas’ bekerja.
“Daripada tujuh pekerja tempatan, kadangkala hanya empat atau tiga orang yang masuk bekerja manakala yang lain menghilang tanpa memaklumkan kepada kami.
“Sekiranya perkara ini berterusan, majikan-majikan akan mengalami masalah dari segi menjaga kualiti makanan dan mungkin muflis disebabkan terpaksa menutup operasi,” katanya.
Seorang lagi peniaga restoran, Hadi Maidin, 51, berkata, dia turut berdepan masalah kekurangan pekerja asing ketika ini dan berharap kerajaan dapat memudahkan pengambilan pekerja asing untuk sektor makanan. – UTUSAN ONLINE