Masalah NRW di Kelantan selesai Januari 2023 - Utusan Malaysia

Masalah NRW di Kelantan selesai Januari 2023

TUAN Ibrahim Tuan Man (tengah) melakukan lawatan kerja ke tapak Program NRW Nasional (Pendekatan 1) Kelantan di Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Program NRW Nasional (Pendekatan 1) Kelantan bernilai RM69.1 juta yang bermula sejak dua tahun lalu bagi menangani masalah air tidak terhasil (NRW) di negeri ini dijangka siap sepenuhnya Januari depan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, program itu melibatkan empat skop kerja iaitu penggantian dan pemasangan meter system input volume (SIV), penukaran meter pengguna dan pembangunan geographical information system (GIS).

“Apabila kerja-kerja penggantian dan pembaikan tangki siap, peningkatan kapasiti storan sebanyak 31.2 juta liter akan memberi manfaat kepada 175,000 pengguna.

“Penggantian  56,000 meter air pula akan memberikan bacaan lebih tepat terhadap penggunaan air sekali gus meningkatkan keberkesanan sistem pengurusan dan kawalan NRW di Kelantan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke tapak Program NRW Nasional (Pendekatan 1) Kelantan di Pasir Tumboh, di sini yang merupakan salah satu 53 lokasi penggantian atau pembaikan tangki.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, projek yang merupakan sambungan daripada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) membabitkan jajahan Kota Bharu, Tumpat, Machang, Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah dan Gua Musang.

Selain itu, beliau menambah, sebagai perancangan jangka panjang, pihaknya akan membina Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Machang dengan sasaran penggunaan 500 juta liter sehari.

“Kita juga dalam perancangan membina satu lagi loji baharu di Pasir Puteh dengan jangkaan kapasiti penggunaan 30 juta liter sehari. Setakat ini, jajahan itu menerima bekalan air dari Terengganu kira-kira 10 juta liter sehari.

“Apabila siap projek pembangunan itu di Tok Bali nanti, bekalan air dijangka meningkat kepada 10 juta liter sehari dan sebahagiannya kita akan salurkan juga kepada pengguna yang berada di Bachok,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN