LONDON : Berbanding saingan MotoGP 2019 yang menyaksikan penguasaan Marc Marquez namun musim 2022 membawa perbezaan ketara buat juara dunia enam kali di kelas utama tersebut.
Namun, pelumba berusia 29 tahun itu, bersedia untuk bertarung dengan bintang yang sedang meningkat naik seperti Fabio Quartararo dan Francesco Bagnaia untuk merebut gelaran juara musim ini.
Selepas peluang merebut kejuaraan musnah kerana kecederaan pada tangan, bahu dan mata sejak dua tahun lalu, Marquez bersedia untuk kembali bersaing bersama generasi baru MotoGP musim ini.
Pelumba Sepanyol itu mengakui dia kini jauh ketinggalan berbanding ketika mendominasi musim 2019 apabila merangkul juara dunia yang kelapan dengan margin besar 151 mata (bersamaan dengan enam kemenangan perlumbaan).
“Sepanjang musim 2020 saya di rumah dan 2021 menjadi musim yang sangat sukar namun akhirnya bertukar lebih baik pada penghujung musim, anda mula memahami apa yang anda capai.
“Kerana anda rasa sukar untuk menjadi pantas dan konsisten setiap perlumbaan dan keadaan. Saya cuba untuk menganalisis bagaimana saya melakukan semua perkara itu kerana saya rasa memerlukan masa untuk memperbaiki banyak perkara jika mahu mengulanginya.
“Sudah tentu saya boleh bersaing untuk kejuaraan 2022 tapi untuk menang dengan kelebihan 100 mata seperti saya lakukan sebelum ini ia sangat sukar.
“Dua pelumba ini Quartararo dan Bagnaia akan menjadi sangat pantas. Kedua-dua mereka beraksi dengan sangat baik tahun lalu terutama Bagnaia.
“Apapun sasaran pada 2022 ia mencari rasa perlumbaan itu. Jika anda menjumpai rasa yang istimewa itu hasilnya akan tiba tidak lama lagi,” jelas Marquez. – AGENSI