SHAH ALAM: Pemain No. 1 negara, Lee Zii Jia mengingatkan rakan-rakan sepasukan agar tidak terlalu seronok selepas membawa Malaysia melakar sejarah menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), hari ini.
Kemenangan 3-0 ke atas Indonesia dalam final di Pusat Konvensyen Setia City menamatkan penguasaan lawan yang tidak pernah gagal menjulang kejuaraan sejak kejohanan diperkenalkan pada 2016, namun tegas Zii Jia kejayaan Malaysia bukan pengukur kemampuan sebenar mereka menjelang Piala Thomas, Mei ini kerana negara lain tidak menghantar skuad terkuat dalam BATC kali ini.
“Jangan terlalu gembira dengan kemenangan ini kerana ujian sebenar yang bakal diharungi skuad Malaysia ialah pada Piala Thomas, Mei ini.
“Saya pernah bercakap sebelum ini, sasaran kita ialah untuk ke final dan kalau berlaku sebaliknya kita dianggap gagal.
“Bila kita jadi juara tak boleh cakap gembira sangat, orang hantar barisan kedua. Kita cuma pertahankan standard kita yang kita ada sekarang, jadi, saya rasa tak boleh gembira sangat,” kata Zii Jia.
Zii Jia berkata, dalam Piala Thomas nanti, barulah lawan sebenar yang akan skuad kebangsaan hadapi kerana pasukan-pasukan handalan bakal beraksi pada kejohanan tersebut.
“Apa yang penting kita kena fokus Piala Thomas, jangan anggap bila kita sudah juara (di BATC), kita leka,” tegasnya.
Jaguh No. 7 dunia yang turun menentang teman seperjuangan seusianya Chico Aura Dwi Wardoyo dalam aksi perseorangan pertama berkesudahan Zii Jia menewaskan pemain yang menghuni ranking ke-55 dunia itu 14-21, 21-12, 21-10.
Kemenangan itu meletakkan Malaysia mendahului 1-0 dan pasangan No. 7 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadikan kedudukan 2-0 selepas mereka menundukkan beregu sedang meningkat naik Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin.
Beregu utama negara itu mengalahkan pasangan No. 28 dunia tersebut 17-21, 21-13, 21-18 dalam perlawanan yang berlangsung hampir sejam.
Pemain muda Malaysia, Ng Tze Yong, 22, yang menggalas tanggungjawab untuk memastikan kemenangan 3-0 skuad kebangsaan menepati jangkaan apabila menewaskan Ikhsan Leonardo Imanuel Rumbay 21-14, 21-15.
Mengulas pencapaian keseluruhan pasukan, Zii Jia gembira menyaksikan penampilan cemerlang Tze Yong dan Leong Jun Hao dalam kejohanan dwi tahunan itu.
“Kalau tidak silap saya ini kali pertama Tze Yong beraksi dalam acara berpasukan, Jun Hao pula sudah lama tidak beraksi pada kejohanan seperti ini.
“Saya harap selepas ini mereka boleh gunakan pertandingan ini sebagai pengalaman penting untuk Piala Thomas. Harap kita boleh jadi satu pasukan yang lebih matang,” ujarnya.
Hadiah kemenangan disampaikan oleh Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman. – UTUSAN ONLINE