SHAH ALAM: Misi memburu gelaran sulung pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) semakin hampir berada dalam dakapan Malaysia, setelah skuad lelaki negara mara ke perlawanan akhir selepas menumpaskan Korea Selatan 3-0 pada separuh akhir dekat sini, sebentar tadi.
Sejak BATC diperkenalkan pada 2016 dan penganjuran edisi kali ini merupakan yang keempat, Malaysia belum pernah menjuarai pertandingan itu.
Pencapaian terbaik skuad kebangsaan ialah melangkah ke perlawanan akhir, dua tahun lalu di Filipina, namun, Malaysia kempunan untuk merangkul gelaran apabila tewas 2-3 kepada Indonesia.
Selaku tuan rumah, edisi kali ini merupakan peluang terbaik Malaysia untuk merangkul gelaran dan dalam perlawanan akhir, esok, umpama aksi ulangan dua tahun lalu apabila Indonesia yang menewaskan Singapura 3-2 dalam satu lagi separuh akhir menjadi pencabar buat skuad kebangsaan.
Dalam aksi separuh akhir, hari ini, jaguh No. 7 dunia, Lee Zii Jia mengutip mata pertama Malaysia, namun, dia dipaksa bekerja keras oleh pencabar dari Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin sebelum menang 13-21, 21-13, 21-15.
Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu ketika ditemui pemberita selepas perlawanan amat berharap sasaran Malaysia untuk merangkul gelaran menjadi kenyataan, esok.
“Sudah tentu bila kita sudah sampai final, kita mahu muncul juara, siapa yang tak nak jadi juara,” katanya.
Bercakap pula mengenai pertemuan dengan Hyeok Jin yang menghuni ranking 2094 dunia, Zii Jia berkata, dia tidak pernah memandang rendah lawannya itu kerana pemain tersebut memiliki pengalaman yang luas.
“Hyeok Jin sebelum saya naik, dia merupakan pemain yang bagus, tetapi selepas itu saya dengar dia perlu menjalani pembedahan,” jelas Zii Jia mengenai pemain perseorangan Korea Selatan itu yang pernah berada di ranking No. 17 dunia sebelum ditimpa kecederaan.
Sementara itu, beregu utama Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membuat peminat di Pusat Konvensyen Setia City cemas seketika, sebelum mereka menundukkan Kim Hwi Tae-Kim Jaehwan 21-14, 20-22, 21-19 dalam masa hampir sejam.
Kejayaan mengutip mata kedua Malaysia telah membuat Wooi Yik bertindak emosi apabila dia menanggalkan jersi yang dipakainya sebelum melemparkan ke arah penonton.
Tindakan pemain berusia 24 tahun itu telah mengakibatkan dia dipanggil pengadil lalu diberi amaran di atas kelakuannya yang tidak menghormati lawan.
Wooi Yik ketika ditanya mengenai tingkah lakunya itu menjelaskan, dia bertindak demikian hanya semata-mata hendak melepaskan geram selepas tewas dalam perlawanan, semalam.
“Semalam kita kalah dengan beregu Jepun, saya memang nak lepas geram. Peminat tetap memberikan sokongan, jadi, hari ini saya memang lepas geram dan saya baling baju ke arah peminat, sebagai penghargaan kepada mereka,” katanya.
Dalam aksi ketiga Malaysia menentang Korea Selatan, Ng Tze Yong, 22, yang menghuni ranking ke-47 dunia melengkapkan kejayaan pasukan negara 3-0 selepas turut dipaksa bermain dalam rubber set oleh Kim Joo Wan, 25, sebelum menang 19-21, 21-16, 21-12. – UTUSAN ONLINE