PETALING JAYA: Majikan di setiap syarikat dalam negara perlu memastikan pengudaraan dalam pejabat ditambah baik sebelum mengadakan mesyuarat secara fizikal.
Menerusi satu ciapan di Twitter, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, majikan yang berbuat demikian boleh mendapatkan potongan cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHBN)
“Perhatian kepada majikan, sekiranya anda perlu mengadakan mesyuarat secara fizikal, terlebih dahulu anda perlu meningkatkan kualiti pengudaraan di pejabat.
“Majikan juga layak mendapatkan potongan cukai untuk menaik taraf sistem ventilasi di ruang bekerja di pejabat masing-masing.
“Kemudahan ini telah dilanjutkan sehingga akhir tahun ini dan semua boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi lawan sesawang LHDN,” katanya.
Dalam Belanjawan 2022, telah dinyatakan kerajaan menyediakan inisiatif untuk kemudahan menjalankan perniagaan dengan lanjutan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian sehingga RM300,000.
Ini adalah bagi menyokong pematuhan prosedur operasi standard termasuk penambahbaikan sistem pengudaraan. – UTUSAN