PUTRAJAYA: Intipan lebih dua minggu oleh SWCorp Wilayah Persekutuan berbaloi apabila sebuah lori berjaya ditahan kerana melupuskan sisa pepejal terkawal secara haram di Maluri, Kuala Lumpur semalam.
Pengarahnya SWCorp Wilayah Persekutuan, Ummi Kalthum berkata, ketika ditahan, lori berkenaan cuba melupuskan enam tan sisa pepejal pembinaan.
Beliau berkata, lokasi pelulusan haram itu pernah dipaparkan dalam sebuah akhbar pada 15 Februari lalu sebelum beliau sendiri turun padang meninjau lokasi itu pada 18 Februari lalu.
“Selepas tinjauan itu, saya arahkan supaya intipan serta tangkapan dibuat terhadap pelaku berkenaan.
“Siasatan mendapati, lokasi berkenaan dikenali sebagai salah satu lokasi hot spot sampah haram di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, beliau sendiri pernah meninjau lokasi berkenaan pada Januari lalu dan mendapati lebih 300 tan sampah dibuang di pusat pelupusan haram itu.
Ummi Kalthum berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah kesalahan Seksyen 71 (1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007, (Akta 672) iaitu larangan terhadap pelonggokan, pengolahan, pelupusan dan sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran.
“Jika sabit kesalahan, pelaku akan didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
“Kami ingin menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil kepada mana-mana pihak yang membuat pelupusan sampah secara haram,” katanya. – UTUSAN