LIVERPOOL: Jurgen Klopp mengakui bertapa pentingnya untuk Liverpool memastikan Thiago Alcantara kekal cergas apabila kemasukkan membantu pasukannya melakar kemenangan 3-1 ke atas Norwich City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), kelmarin.
Keputusan itu, melebarkan rekod kemenangan Reds kepada lapan perlawanan di semua pertandingan.
Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan di Anfield menerusi Milot Rashica namun Liverpool bangkit dengan tiga jaringan menerusi Sadio Mane, Mohamed Salah dan Luis Diaz.
Kemenangan itu, merapatkan jurang kepada enam mata dengan pendahulu liga, Manchester City, malah skuad Klopp masih memiliki satu baki perlawanan dalam tangan.
Reds telah mengumpul 100 jaringan musim ini dengan saingan liga berbaki 12 perlawanan.
“Kemasukkan Thiago memberi suntikan tenaga kepada pasukan, dia bermain dengan penuh keyakinan dan tenang.
“Dia seorang pemain yang bagus, kami hanya perlu memastikan dia cergas. Mengenai Diogo Jota, kita tidak tahu berapa lama masa yang diperlukannya untuk pulih,” ujar Klopp.
Sementara itu, Salah mencipta sejarah baharu dalam kariernya apabila menjadi pemain ke-10 yang mencapai 150 gol untuk Liverpool dan kedua terpantas selepas Roger Hunt.
Salah menjaringkan gol ke-25 daripada 30 penampilan sepanjang musim ini termasuk 17 gol dalam 23 aksi liga manakala Reds sudah memenangi lapan perlawanan terakhir
“Sangat hebat. Saya sentiasa bangga dapat menjaringkan gol untuk kelab dan paling penting adalah memenangi perlawanan sepertimana yang kami lakukan pada perlawanan ini.
“Apa yang perlu kami lakukan adalah fokus pada setiap perlawanan, itu perkara paling penting.
“Kami tahu apabila anda bersaing dengan City, mereka kebanyakannya memenangi perlawanan, jadi apa yang boleh kami lakukan ialah fokus pada diri kami sendiri dan lihat apa yang berlaku di hujung musim,” katanya. – AGENSI