SEGAMAT: Seorang lelaki maut dilanggar kereta api dalam kejadian di Bandar Segamat, di sini, Sabtu lalu.
Nahas di landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kira-kira pukul 5.50 petang itu menyebabkan mangsa warga tempatan berusia lingkungan 60-an maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba Penyelamat Bandar Segamat, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhd. Hazim Abdul Razak berkata, lima anggota bomba beserta sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 6 petang.
“Anggota bomba yang tiba tiga minit kemudian mendapati mangsa sudah berada di laluan landasan kepala kereta api itu. Siasatan mendapati mangsa dilanggar kereta api penumpang KTMB dari arah Gemas menghala Johor Bahru.
“Operasi kemudian ditamatkan pada pukul 6.20 petang selepas mangsa dialihkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Bahrin Mohd. Noh berkata, siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – UTUSAN