IPOH: Polis mengesahkan dakwaan lelaki warga Bangladesh dibaham harimau di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, dekat sini yang tular dalam media sosial sejak awal pagi ini adalah berita palsu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tiada laporan diterima Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berkaitan kejadian itu.
Katanya, gambar tular tersebut juga dipercayai gambar lama yang sengaja disebarkan semula.
“Apa yang ditularkan itu tidak benar dan boleh disahkan sebagai maklumat palsu. IPD Ipoh juga tidak menerima laporan kes tersebut. Tolong hentikan penyebaran berita itu kerana mengakibatkan orang ramai terkeliru.
“Tindakan menyebarkan maklumat tidak benar itu bukan sahaja menimbulkan kegusaran kepada masyarakat malah satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Terdahulu, tular dalam media sosial gambar rangka didakwa lelaki warga Bangladesh yang dibaham harimau di Pos Raya antara Simpang Pulai ke Cameron Highlands.
Media pada Sabtu lalu melaporkan, seekor harimau belang dikesan di kawasan hentian rawat dan rehat atau Banjaran Cafe dekat Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.
Menerusi rakaman video berdurasi 17 saat yang tular dalam media sosial, haiwan pemangsa itu dilihat berkeliaran di satu kawasan semak yang berbukit.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, haiwan pemangsa itu dipercayai dari Hutan Simpan Bukit Tapah dan kemungkinan tersesat di kawasan berkenaan ekoran mengejar haiwan buruan. – UTUSAN