Lebih 50 laluan tikus di perairan Selangor, Perak - Utusan Malaysia

Lebih 50 laluan tikus di perairan Selangor, Perak

SHAMSOL Kassim dalam sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah (1), Batu Uban, Georgetown, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu mengenal pasti lebih 50 laluan tikus yang menjadi laluan keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama dari Indonesia di sepanjang perairan Selangor hingga ke Perak.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, pihaknya mendapati berlaku peningkatan aktiviti penyeludupan PATI dari Indonesia selepas pembukaan semula ekonomi terutama melibatkan sektor perladangan.

Katanya, laluan tikus itu dikenal pasti bermula di sekitar perairan Klang, Sabak Bernam, Selangor sehingga ke perairan Hutan Melintang, Perak.

“Kawasan yang menjadi laluan tikus ini juga jauh daripada pangkalan utama polis dan untuk kita sampai ke kawasan itu agak mengambil masa. PPM Wilayah Satu meningkatkan rondaan di kawasan sempadan negara terutama melibatkan kawasan-kawasan yang menjadi ‘hotspot‘ laluan tikus ini,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat PPM Wilayah Satu, Batu Uban, di sini hari ini.

Menurut Shamsol, jarak antara Indonesia dengan kawasan perairan Selangor yang mengambil masa hanya sekitar empat hingga lima jam untuk sampai menjadi punca mengapa laluan tikus dikesan di situ.

“Antara modus operandi yang dikesan digunakan oleh penyeludup PATI ialah mereka cuba memasuki perairan negara pada waktu malam tanpa menggunakan lampu. Mereka juga menggunakan bot-bot nelayan yang diubah suai untuk memuatkan sekitar 100 hingga 200 orang PATI dalam satu bot. Seorang PATI juga didapati membayar RM1,500 hingga RM2,000 kepada penyeludup untuk masuk ke negara ini serta ada di antara mereka dijanjikan pekerjaan dalam bidang perladangan dan pembantu rumah,” katanya. 

Shamsol berkata, sejak Januari hingga semalam, seorang warga tempatan dan 12 warga Indonesia yang merupakan penyeludup atau ahli sindiket masuk warga asing ditahan.

“Selain itu, dalam tempoh sama seramai 188 PATI warga Indonesia termasuk 42 wanita turut ditahan kerana masuk ke negara ini secara haram dan kesemua mereka berusia 21 hingga 45 tahun. Kesemua tangkapan dibuat di perairan Sungai Buluh, Tanjung Karang dan Sungai Serdang, Selangor dan anggaran rampasan melibatkan empat buah bot yang digunakan penyeludup adalah sebanyak RM900,000,” katanya.

Sementara itu katanya, PPM Wilayah Satu juga merampas rokok dan minuman keras tanpa cukai bernilai lebih RM3.3 juta di bawah Akta Kastam 1967 sepanjang operasi pada Januari hingga Februari lalu. 

“Kita turut menahan 12 lelaki termasuk tiga warga asing dan merampas dua buah bot, dua buah kereta, sebuah motosikal dan sebuah lori yang kesemuanya bernilai RM326,000,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya