SHAH ALAM : Pegawai Sains daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bersetuju terdapat beberapa teknik dilakukan sekiranya sesuatu tempat itu sengaja dibakar termasuk mencurah minyak petrol di lokasi kejadian.
Saksi pendakwaan ke-14 itu, Aznor Sheda Samsudin yang dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini pada peringkat periksa balas bagi kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan turut bersetuju dengan pernyataan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengenai sekiranya minyak petrol dicurahkan, ia akan mengalir ke lantai.
Bagaimanapun, bagi kes ini, dia bersetuju lantai kayu tidak dikemukakan untuk dianalisis di makmal.
Muhammad Shafee : Puan setuju lantai kayu jenis parquet mungkin minyak petrol serap atau masuk celah kayu?
Aznor : Setuju
Muhammad Shafee : Puan setuju tiada eksibit diambil dari lantai?
Aznor : Setuju
Muhammad Shafee : Puan setuju kalau eksibit itu dihantar kepada puan, petrol itu masih ‘fresh’?
Aznor : Setuju
Terdahulu, Aznor ketika menjawab persoalan dibangkitkan peguam bela, LS Leonard mengenai ketidakpatuhannya semasa mengendalikan ujian sepertimana dinyatakan dalam buku manual memberitahu, tempoh 10 minit sudah memadai untuk mengeluarkan atau mengewapkan cecair sekiranya ia ada di dalam sampel.
Leonard : Dalam kaedah manual, sampel dalam beg nilon perlu dipanaskan pada suhu 90 darjah Celcius untuk tempoh 15 minit tetapi pada borang data ujian, anda panaskan 10 minit iaitu lima minit kurang daripada manual. Benar?
Aznor : Benar
Leonard : Anda telah memendekkan masa analisis dan tidak mengikut masa ditetapkan (dalam kaedah manual) bagi sampel A, C, D dan E. Setuju?
Aznor : Setuju
Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan pernyataan pihak pembelaan yang mengatakan data analisis bagi keempat-empat sampel itu boleh dipertikaikan.
“Apa yang saya lakukan adalah amalan biasa iaitu 10 minit sudah memadai. Saya pernah buat macam (kaedah) manual dan hasilnya adalah sama,” ujarnya.
Aznor ketika dipanggil memberi keterangan pada 2 Disember 2019 memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa tiga daripada empat sampel yang dikemukakan kepada Makmal Penyiasatan Kebakaran JBPM Selangor pada 17 Jun 2018, dikesan mempunyai sisa cecair mudah menyala jenis petrol manakala satu lagi sampel tidak mempunyai sisa cecair mudah menyala.
Menurutnya, dapatan itu diperoleh selepas memanaskan empat beg nilon berisi sampel yang dihantar kepadanya dalam ketuhar pada suhu 90 darjah Celcius selama 15 minit supaya proses pengewapan berlaku.
Aznor dipanggil memberi keterangan terhadap bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar, 47, yang juga isteri kepada Nazrin, 47, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, kerana membunuh lelaki berkenaan.
Di hadapan Hakim Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman, mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Selangor, Mohammad Al-Saifi Hashim, Mohd. Asnawi Abu Hanipah, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail, Nur Sabrina Zubairi dan Nor Suhaili Abu Bakar manakala pembelaan turut diwakili Rahmat Azlan dan Savreena Kaur. -UTUSAN ONLINE