PETALING JAYA: Selepas moratorium kali kedua tamat hujung bulan lepas, kerajaan diminta melanjutkan lagi tempoh moratorium enam bulan kepada semua peminjam individu terutamanya golongan B40 bagi mengelak risiko terjerumus muflis.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, moratorium bersasar yang diperkenalkan sebelum ini harus diteruskan berikutan pihaknya masih melihat golongan B40 pada masa ini terutamanya, masih perlu dibantu.
Beliau berkata, ini kerana ketika ini hanya mereka yang terjejas banjir masih mempunyai tempoh moratorium, namun mereka yang tidak terjejas bencana dan masih belum pulih sepenuhnya terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana dan individu perseorangan juga perlu diberi perhatian.
“Saya lihat golongan B40 berisiko terjerumus ke arah muflis jika tidak dibantu (dilanjut moratorium) kerana bukannya mudah untuk kembali pulih dalam beberapa bulan.
“Jika syarikat gergasi ambil masa bertahun-tahun untuk kembali pulih, apatah lagi mereka yang kebanyakan individu yang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah habis separuh dan simpanan kurang RM10,000.
“Jadi dengan pengeluaran i-Citra tidak disambung, maka situasi menjadi kronik dengan moratorium tak ada, maka sememangnya risiko (terjerumus muflis),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Julai lalu, media melaporkan, moratorium enam bulan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), dijangka memberi kelegaan sehingga RM80 bilion kepada kalangan peminjam individu dan perniagaan.
Pemberian moratorium enam bulan itu ditawarkan kepada semua peminjam individu merangkumi golongan B40, M40 serta T20 dan usahawan mikro, tanpa dikenakan syarat seperti pengurangan pendapatan atau hilang pekerjaan.
Susulan tempoh moratorium yang berakhir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, 20 Januari lalu berkata, kementeriannya akan mengemukakan cadangan kepada institusi perbankan mengenai pelanjutan tempoh moratorium yang berakhir 31 Januari.
Menurut Dr. Ahmed Razman, secara umumnya, pihaknya tidak menolak beberapa indikator makro ekonomi sememangnya menunjukkan ekonomi negara berkembang dalam tempoh pemulihan pasca pandemik.
Katanya, ini dapat dilihat dengan nilai eksport dan nilai import yang sentiasa menunjukkan peningkatan selain pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka lebih tinggi berbanding tahun lepas.
“Namun kita tak boleh mengambil mudah beberapa faktor positif, ada lagi perlu diberi perhatian terutama kadar inflasi yang sudah menunjukkan peningkatan sekitar 3.2 peratus yang menandakan harga barangan semakin meningkat yang boleh meningkatkan ekonomi stagflasi.
“Jadi moratorium kali ini juga perlu diteruskan berfokus seperti mana kaedah pemberian moratorium yang dilaksanakan kali kedua sebelum ini.
“Mereka yang memerlukan hanya perlu datang berjumpa pihak bank bagi menyatakan mengapa mereka masih memerlukan moratorium,” katanya.
Senada dengan beliau, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya juga mengharapkan agar pemberian moratorium itu dapat dilanjutkan lagi bagi membantu mereka yang terbeban dengan tunggakan-tunggakan pinjaman.
Katanya, pihak bank perlu memberikan pilihan kepada mereka yang mahu melanjutkan pemberian moratorium ini dan mereka yang tidak mahu boleh meneruskan membayar bulanan seperti biasa.
“Saya tak fikir orang ramai atau industri dapat pick up semula dengan apa yang berlaku, jika menjalankan perniagaan pun sudah tentu mengambil masa yang lama.
“Bank kena teruskan dengan memberi pilihan kepada mereka yang nak lanjutan moratoirum, tetapi jangan susahkan mereka kerana orang akan tetap bayar,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE