MELAKA: Seorang lelaki maut manakala dua ahli keluarganya cedera selepas kereta dinaiki empat sekeluarga itu melanggar penghadang jalan sebelum dirempuh sebuah lori kurier di Kilometer 215.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, mangsa, Nor Azli Abdul Fattah, 25, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, ketika kejadian keluarga tersebut yang menaiki kereta jenis Proton Wira dalam perjalanan ke Batu Pahat, Johor.
Katanya, setiba di lokasi kenderaan dipandu mangsa telah hilang kawalan sebelum terbabas melanggar penghadang jalan sebelah kiri sehingga berpusing.
“Sebuah lori kurier yang berada di lorong kiri tidak sempat mengelak kereta tersebut dan mengheret kenderaan itu ke lorong sebelah kanan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta berkenaan maut di tempat kejadian, manakala seorang penumpang lelaki yang juga abangnya berusia 33 tahun bersama isteri 25 tahun masing-masing cedera dan dikejarkan ke Hospital Alor Gajah,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, turut berada dalam kenderaan itu adalah anak kepada pasangan berkenaan berusia dua tahun.
“Hasil siasatan awal, pegawai di lokasi mendapati kemalangan itu berlaku disebabkan faktor manusia gagal mengawal kenderaan. Mayat mangsa yang meninggal dunia telahpun di hantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN