TAWAU: Hanya berselang lima hari, satu lagi cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk ke Sabah melalui Kampung Kurnia Jaya dikesan semalam.
Dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah malam itu, lapan PATI warga Indonesia ditahan semasa baharu mendarat di Jambatan 2, kampung berkenaan.
Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, semasa diturunkan di kawasan itu, kesemua PATI yang berusia satu hingga 52 tahun itu cuba melarikan diri namun, berjaya dikepung oleh pasukan keselamatan.
Beliau berkata, bot dinaiki kesemua lapan PATI itu dikesan melalui radar pemantauan pesisir pantai (CSS) dan kejadian itu dilaporkan ke Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB).
Kemudian sekumpulan pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) diatur gerak ke lokasi bagi melakukan pemantauan menerusi Op Benteng Bersama.
“Menyedari kehadiran pasukan QRF, tekong bot laju yang menurunkan kesemua PATI itu bertindak melarikan diri dan berpatah balik ke sempadan perairan negara.
“Kesemua PATI yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah ditahan bersama barang persendirian dan tiada penemuan barang-barang terlarang.
“Siasatan awal mendapati kesemua mereka mengakui memasuki negara ini secara haram bagi mencari peluang pekerjaan dengan menggunakan bot yang diatur oleh ejen daripada Pulau Sebatik menuju ke Tawau.
“Ketibaan mereka akan disambut oleh seorang lagi ejen lain di Tawau untuk dihantar ke destinasi yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Abdul Karim, penahanan itu turut dilaporkan kepada Pusat Operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk mendapatkan bantuan bagi melancarkan proses tangkapan.
Kesemua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi menjalani proses saringan Covid-19 serta tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.
Tambah beliau lagi, kejayaan itu membuktikan ATB 2 dan pasukan keselamatan lain sentiasa komited menjaga keselamatan, kemakmuran dan kedaulatan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
“Kita sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan operasi yang tertinggi dalam memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan di sempadan negara.
“Sempadan negara sentiasa dikawal dan ditangani secara serius dalam menghindar sebarang ancaman keselamatan demi menjaga kedaulatan dan keselamatan negara, khasnya di pantai timur Sabah,” katanya.-UTUSAN ONLINE