Ladang jagung bakal wujud atasi isu dedak import mahal - Utusan Malaysia

Ladang jagung bakal wujud atasi isu dedak import mahal

RONALD Kiandee (dua kiri) melancarkan Road to Expo 2020 Dubai pada Program Sesi Dialog Industri Agromakanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Harga runcit ayam dan ternakan ruminan lain dijangka mampu dikurangkan drastik apabila ladang jagung diwujudkan semula secara besar-besaran di seluruh negara.

Perkara itu dibayangkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, sekali gus mengatasi isu dedak jagung yang ketika ini diimport 100 peratus. 

Malahan, beliau dalam nada optimis berkata, jika Malaysia berjaya mengurangkan import, harga bahan makanan haiwan ternakan juga akan turun sebelum memasuki pasaran runcit.

“Saya akui selama ini kita mengimport sepenuhnya jagung kerana tiada pun pengeluaran di Malaysia kecuali cuma dalam skala amat kecil dan keadaan sebegini amat mendukacitakan.

“Justeru, saya telah arah pegawai kementerian ini untuk cari pendekatan bagi penanaman jagung sebagai dasar utama kerana ia berkait isu keselamatan makanan nasional,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan portal bersepadu terbaharu, MyAgro Trade dan Sesi Dialog Industri Agromakanan 2022 di Wisma Tani di sini hari ini.

Baru-baru ini, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mendedahkan isu dedak jagung import menjadi punca utama harga ayam melonjak dan mendakwa kerajaan Barisan Nasional pernah merangka pelan jangka panjang 2018-2032 bagi mengurangkan kebergantungan import.

Malangnya inisiatif itu dihapuskan Pakatan Harapan setelah berkuasa pada 2018 lalu yang menyebabkan Malaysia kembali terpaksa mengimport jagung untuk dedak haiwan ternakan.

Bekas Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, Malaysia amat jauh ketinggalan berbanding Thailand dan Indonesia dalam penanaman jagung meskipun cuacanya lebih kurang sama sahaja.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, jagung merupakan komponen utama penghasilan dedak, namun bekalan terhad dari negara sumber mengakibatkan kos bahan itu menjadi amat mahal.

“Komoditi ini juga terdedah perubahan kadar pertukaran mata wang asing dan isu ini turut melibatkan banyak tanaman lain seperti bawang yang kita terpaksa diimport dari India,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pelbagai agensi di bawah kementeriannya mencari jalan agar komoditi tersebut dapat ditanam di Malaysia sekali gus tidak perlu bergantung kepada import.

Beliau memberi contoh apabila ladang bawang di India dilanda banjir tahun lalu menjejaskan bekalan untuk dieksport ke Malaysia dan mengakibatkan pula harga komoditi itu naik melonjak.

Keadaan sama turut berlaku ke atas jagung dan memberi kesan rantaian kepada isu harga runcit ayam yang tinggi kebelakangan ini apabila penternak mendakwa harga dedak amat mahal.

Ketika ini, Malaysia mengimport sekitar empat juta tan jagung bernilai lebih RM7 bilion setiap tahun kerana memang tiada ladang komoditi itu berskala komersial besar di seluruh negara.

Kajian kementerian itu pada 2016 menunjukkan Malaysia memerlukan lebih 200,000 hektar tanah untuk penanaman jagung dengan unjuran 6.5 tan per hektar bagi setiap musim penuaian.- UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya