Ladang cili fertigasi di tengah bandar - Utusan Malaysia

Ladang cili fertigasi di tengah bandar

AHLI kariah Masjid Melayu di ladang cili fertigasi yang mereka usahakan di Jalan Selat, Teluk Intan. Perak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Tanah seluas suku ekar di tengah-tengah bandar Teluk Intan, Perak yang dahulunya semak samun, kini bertukar wajah dengan tanaman cili fertigasi yang diusahakan oleh ahli kariah Masjid Melayu, Jalan Selat di sini di bawah Program Pertanian Komuniti.

Tanaman itu dimulakan selepas saranan daripada Orang Besar Jajahan (OBJ) Hilir Perak, Datuk Meor Redwan Mahayudin agar pertanian teknologi fertigasi dikembangkan di kawasan dalam bandar termasuk berdekatan masjid di sini yang mempunyai tanah.

Setiausaha Inisiatif Jihad Ekonomi dan Pendidikan Masjid Melayu di sini, Mohammad Abu Bakar, 45, berkata, projek tanaman cili itu merupakan kerjasama dengan Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Katanya, teknologi robotik juga digunakan di projek tanaman cili itu dengan kerjasama Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

“Kami memulakan tanaman cili di tanah ini menerusi kaedah fertigasi pada pada 1 Oktober 2020 dan setakat ini sudah mendapatkan hasil hampir satu tan dan sudah 16 kali musim cili ini dipetik .

“Wang daripada hasil jualan antaranya disumbangkan untuk tabung Masjid Melayu ini supaya boleh digunakan dan dimanfaatkan sebaik-baiknya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk, Mohd. Sharifudin Mohd. Yunos berkata, pihaknya menyokong usaha itu sebagai menyahut seruan kerajaan agar pertanian kaedah fertigasi diperluaskan di kawasan bandar.

Katanya, banyak kawasan atau tanah dalam bandar yang sesuai untuk tanaman fertigasi seperti di sekolah-sekolah, kawasan taman perumahan dan berdekatan kawasan masjid.

“Bagi projek tanaman cili ini, jabatan ini dengan kerjasama Uniten membuat percubaan di tapak ini dengan penggunaan mesin khas dikenali penghalang serangga teknologi robot yang bertujuan untuk mengawal populasi lalat putih dan kupu-kupu dewasa.

“Alat ini mengeluarkan semburan halus yang mengandungi cecair kimia khas bagi menghalau dan menghalang kedatangan serangga perosak berkenaan.

“Sistem robotik ini diletakkan pada tempat-tempat strategik di tapak ini dan dan diprogramkan untuk semburan mengikut masa-masa tertentu,” katanya.

Menurutnya, data keha­diran serangga perosak di tapak tanaman cili itu dipantau oleh Uniten untuk dibuat kajian tentang keberkesanan alat tersebut dalam membantu mengurangkan serangan perosak ke atas pokok cili.

“Mengenai projek tanaman cili di kawasan tengah bandar Teluk Intan, kita anggap ia sebagai sesuatu yang istimewa dan luar biasa kerana ia dijayakan oleh ahli jawatankuasa masjid dan mereka berpengalaman dalam bidang pertanian sebelum ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya