Kos tinggi, peniaga terpaksa had 100 balang kuih raya - Utusan Malaysia

Kos tinggi, peniaga terpaksa had 100 balang kuih raya

AIEDHAH Nurfajrina Abd. Latip menyusun produknya di kedai milik kenalannya di Temerloh, Pahang. – UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Tidak dapat dinafikan kenaikan harga barangan terutama telur memberikan kesan kepada pembuat kuih raya, ini termasuklah seorang peniaga di Kampung Sungai Gau, di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga terbabit, Aie­dhah Nurfajrina Abd. Latip, 36, berkata, disebabkan kenaikan harga barangan mentah itu, dia merancang mengehadkan pembuatan kuih raya sekitar 100 ba­lang.

Tambahnya, dia sering menggunakan bahan berkualiti tinggi termasuk telur dengan gred A untuk menghasilkan kuih raya yang berkualiti.

“Tahun ini saya rasa saya hanya akan hadkan tempahan kuih raya hanya untuk pelanggan yang biasa menempah kuih raya dengan saya.

“Mungkin dalam 100 balang sahaja macam itu. Tak dapat nak buat banyak kerana modal yang tinggi,” katanya di sini semalam.

Selain membuat kuih raya Aiedhah Nurfajrina turut mengambil tempahan pelbagai jenis kek dan biskut.

Menurutnya, boleh dikatakan dia menerima tempahan hampir setiap hari namun sedikit kecewa dengan kekurangan bekalan telur di pasaran.

“Stok telur memang susah nak dapat dan harga juga sudah naik. Seperti saya yang menggunakan telur gred A, saya dapati harga telur satu sarang sudah naik RM2.

“Bukan sahaja telur, tapi boleh dikatakan semua harga bakeri naik. Disebabkan itu kami sebagai peniaga kek dan biskut terpaksa menaikkan harga produk kami,” katanya.

Pemilik perniagaan Mami EM’s Bake itu bagaimanapun bersyukur meskipun terpaksa menaikkan harga produknya, pelanggan tetapnya dapat menerima harga berkenaan dan masih memberi sokongan terhadap perniagaan yang diusahakan dari 2011 lagi itu.

“Sebagai peniaga, kami terpaksa jual barang mengikut harga barangan mentah. Kalau barang mentah naik, harga juga terpaksa dinaikkan.

“Syukur sebab pelanggan dapat terima jika saya beritahu harga dah lain dan mereka masih memberi sokongan de­ngan membeli produk saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya