SHAH ALAM: Malaysia muncul juara Kumpulan B setelah menewaskan Jepun 3-2 dalam pertarungan yang berlangsung sengit pada aksi terakhir Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini, sebentar tadi.
Kedudukan skuad lelaki negara sebagai juara kumpulan, telah menemukan Malaysia dengan Korea Selatan di separuh akhir, esok selepas undian semula dilaksanakan sebaik perlawanan peringkat kumpulan selesai.
Kejayaan tersebut juga sekurang-kurangnya membolehkan skuad kebangsaan mengelak bertemu juara bertahan, Indonesia di peringkat empat terbaik setelah negara tetangga itu menjuarai Kumpulan A.
Indonesia pula akan turun beraksi menentang Singapura dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Sementara itu, pada pertemuan Malaysia menentang Jepun, Lee Zii Jia yang turun selaku perseorangan pertama sedikit bergelut menyesuaikan dirinya dengan gelanggang yang berangin sehingga menyumbang kepada kekalahannya dalam set pertama 15-21 kepada, Riku Hatano.
Bagaimanapun, pemain perseorangan pertama negara itu berjaya menebus kehampaannya apabila menang ke atas wakil Jepun berusia 21 tahun itu 21-6, 21-15 dalam dua set berikut.
Zii Jia ketika ditemui pemberita selepas perlawanan mengakui, agak bergelut beraksi menentang pemain No. 353 dunia, Hatano yang disifatkannya memiliki permainan mirip Kento Momota.
“Saya rasa kita pun tahu, di sini angin agak besar, set pertama banyak kesilapan yang tidak disengajakan berlaku, set kedua pula saya cuba teruskan permainan dan set ketiga saya sudah tahu macam mana hendak kawal permainan.
“Saya rasa semasa set kedua lawan juga kalah disebabkan angin. Dalam set ini saya semakin selesa kawal bola, jadi saya berjaya meninggalkan jauh lawan.
“Untuk set ketiga saya sedar apabila capai 11 mata tu kita kena tingkatkan usaha, saya mendahului 11-10, selepas itu kita tukar gelanggang yang kembali berpihak kepada saya dan ia membantu keyakinan saya untuk menang,” katanya.
Bagaimanapun, kemenangan Zii Jia gagal diteruskan beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tumpas mengejut kepada beregu ke-857 dunia, Ayato Endo-Yuta Takei 21-23, 16-21 untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1.
Kem Malaysia terus ditimpa malang apabila Aidil Sholeh Ali Sadikin yang diturunkan selaku perseorangan kedua turut tunduk kepada pencabar dari Jepun,
Koo Takahashi 21-19, 16-21, 15-21.
Ketika Malaysia ketinggalan 1-2, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang menggalas tugas sebagai beregu kedua menyalakan kembali peluang Malaysia apabila menundukkan Shuntaro Mezaki-Haruya Nishida 17-21, 21-17, 21-17.
Kemenangan itu mengikat kedudukan menjadi 2-2 dan Leong Jun Hao yang turun sebagaj perseorangan ketiga menang straight set ke atas Koshiro Moriguchi 21-18, 21-16 bagi memastikan kemenangan 3-2 menjadi milik Malaysia.
Dalam saingan wanita pula, Malaysia yang memegang status juara Kumpulan Y telah diundi bertemu Korea Selatan pada separuh akhir, manakala pemenang Kumpulan Z, Indonesia menentang Jepun. – UTUSAN ONLINE