Kit RTK antigen 'laku keras' namun mencukupi - Utusan Malaysia

Kit RTK antigen ‘laku keras’ namun mencukupi

SEORANG jurujual farmasi di Gua Musang menunjukkan kit ujian pantas RTK antigen secara kendiri yang dijual kepada orang ramai. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Permintaan tinggi terhadap kit ujian pantas (RTK) antigen secara kendiri kebelakangan ini menyebabkan berlaku kekurangan bekalan di beberapa negeri seperti Sabah, Johor dan Lembah Klang.

Difahamkan, keadaan itu berlaku kerana kebimbangan orang ramai terhadap varian Omicron selepas pembukaan sektor ekonomi serta kluster pendidikan yang dilaporkan meningkat setiap hari.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam mengakui kit ujian itu ‘laku keras’ namun memberi jaminan bekalannya pada bulan ini mencukupi.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu panik kerana lebih 18 juta unit kit tersebut masih ada di peringkat pengilang dan pemborong, dengan 8,084 premis di seluruh negara diberi kebenaran untuk menjual RTK secara runcit.

“Setakat ini terdapat lebih 100 jenama RTK dan kita berharap dalam masa seminggu atau dua minggu lagi bekalan itu akan lebih mudah diperoleh di pasaran.

“Mengikut maklumat yang kami terima, masalah kekurangan bekalan timbul kerana pemborong menunggu bekalan daripada negara pengeluar, dengan sebahagian besarnya adalah dari China.

“Kami telah menghubungi pengilang tempatan supaya segera meningkatkan pengeluaran mereka dan mengagihkan kit tersebut di pasaran,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pejabat KPDNHEP Gua Musang, di sini hari ini.

Azman berkata, sejak tahun lalu kerajaan mewartakan RTK sebagai barang kawalan di bawah Akta Kawalan Harga dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, kit ujian itu boleh diperoleh di farmasi dan fasiliti kesihatan serta di premis-premis berdaftar seperti pasar raya, kedai serbaneka dan stesen minyak.

“Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan lanjut dengan menghantar maklumat ke Whatsapp 019-2794317.

“Aduan juga boleh disalurkan kepada portal e-aduan.kpdnhep, atau emel kepada [email protected] Ez ADU KPDNHEP atau hubungi 1-800-886-800 atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/6245,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya