Ketua Hakim Syarie dapat injunksi lanjutan hingga Mac - Utusan Malaysia

Ketua Hakim Syarie dapat injunksi lanjutan hingga Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melanjutkan perintah injunksi sebelah pihak yang diperoleh oleh Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar agar Datuk Lokman Noor Adam memadam hantaran dan kenyataan dimuat naik di media sosial berkaitan isu gangguan seksual yang didakwa memfitnah beliau.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff melanjutkan perintah injunksi sebelah pihak sementara menunggu permohonan injunksi kedua belah pihak (inter-parte) didengar pada 22 Mac ini.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Mohd. Na’im berkata, sepatutnya hari ini ditetapkan untuk pendengaran injunksi inter-parte, namun ditangguhkan kerana peguam mewakili Lokman memohon masa untuk memfailkan afidavit jawapan.

Katanya, mahkamah kemudian memerintahkan Lokman memfailkan afidavit jawapan pada atau sebelum 11 Februari ini.

Dalam prosiding itu, peguam Fazilah Jaafar mewakili Lokman.

Sementara itu, Akberdin turut memaklumkan kepada pihak media, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu telah memadam kesemua hantaran (posting) berunsur fitnah terhadap Mohd. Na’im berhubung dakwaan gangguan seksual yang dimuat naik dalam Facebook dan YouTube.

Pada 20 Januari lalu, Hakim Rozana membenarkan permohonan injunksi sebelah pihak dengan memerintahkan Lokman (defendan) memadam kesemua hantaran dan kenyataan dalam tempoh 24 jam daripada tarikh perintah itu diserahkan kepadanya.

Kenyataan yang didakwa Mohd. Na’im (plaintif) memfitnahnya itu dimuat naik melalui dua hantaran di YouTube dan empat hantaran termasuk dua hantaran video di laman Facebook berhubung isu gangguan seksual.

Lokman atau ejennya tidak boleh menerbitkan, berkongsi atau menyiarkan semula hantaran-hantaran (posting) atau pernyataan berbaur fitnah tersebut dalam apa jua cara sekalipun.

Pada 17 Januari lalu, Mohd. Na’im yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia memfailkan saman terhadap Lokman dengan mendakwa defendan memfitnahnya melalui dua siaran langsung di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 10 Januari dan 13 Januari lalu.

Beliau yang memfailkan saman atas kapasiti peribadi, mendakwa Lokman juga memuat naik siaran langsung itu di YouTube milik defendan pada 10 Januari dan 14 Januari lalu, selain memuat naik tiga hantaran fitnah di Facebook pada 11 Januari dan 13 Januari lalu.

Menurut plaintif, kenyataan fitnah itu antaranya bermaksud beliau seorang penunggang agama dan gagal menjadi pemimpin yang berwibawa dengan akhlak yang terpuji serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.

Plaintif turut membuat laporan polis pada 12 Disember 2021 untuk menafikan dakwaan dan tuduhan palsu seorang wanita bergelar Datin dan membuat laporan polis terhadap Lokman supaya disiasat dan diambil tindakan.

Mohd. Na’im dengan itu memohon antaranya perintah injunksi supaya defendan memadam video dan hantaran berkenaan serta menghalangnya daripada menerbitkan semula hantaran terbabit.

Beliau juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing berjumlah RM10 juta, faedah dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.c-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya